Isnin, 19 Oktober 2015

DAP: Speaker salah guna kuasa tangguh siasatan 1MDB PAC




Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan ahli Parlimen bangkit usul persendirian jika tidak berpuas hati dengan keputusannya tangguh persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan pengerusinya dilantik menyertai Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Oktober, 2015.Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan ahli Parlimen bangkit usul persendirian jika tidak berpuas hati dengan keputusannya tangguh persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan pengerusinya dilantik menyertai Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan ahli Parlimen agar membangkitkan usul persendirian dalam persidangan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusannya menangguhkan persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan pengerusinya dilantik menyertai Kabinet. 
 
 Pandikar mengeluarkan kenyataan itu selepas Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang mengatakan speaker Dewan Rakyat itu menggunakan kuasanya untuk menangguhkan mesyuarat PAC, sedangkan tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat membolehkan speaker mengambil tindakan sedemikian.

"Tidak ada peruntukan diberikan speaker boleh berhentikan mesyuarat. Ini salah guna kusa Yang di-Pertua dan sabotaj penyiasatan 1MDB, “ kata ketua Parlimen DAP itu merujuk kepada siasatan yang dijalankan PAC berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Yang di-Pertua jadi diktator, itu tak boleh. Adakah Yang di-Pertua takut 1MDB disiasat," soal Lim ketika mencelah perbahasan dalam pelantikan pengerusi PAC baharu hari ini di Parlimen. 
 
Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini mempengerusikan PAC namun beliau kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dalam sesi perbahasannya berkata, walaupun speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa pemutus, keputusan itu juga berkemungkinan bukan keputusan yang tepat.

"1MDB hilang, pengerusi pun hilang. Tiba-tiba kita pun hilang arah penafsiran," katanya.

Pandikar bagaimanapun berkata, beliau mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana ahli Parlimen untuk menjadi pengerusi, namun bagi kes PAC ia perlu diputuskan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Tetapi dalam soal PAC, tidak boleh menamakan siapa pengganti, mesti dilakukan majlis," kata Pandikar.
"Kalau rasa keputusan speaker tidak betul, bawa usul persendirian. Ini tidak. Kalau ada boleh dibahaskan dan diundi,” katanya.

Pandikar berkata, sekiranya siasatan PAC tidak menyentuh isu kontroversi seperti 1MDB, sudah pasti tindakannya itu tidak akan dipertikaikan ahli Parlimen.

"Seandainya kita ada isu 1MDB, sekarang dalam siasatan yang belum tentu siapa salah atau betul, adakah orang kisah siasatan itu cepat atau tidak cepat," kata Pandikar.

Perbahasan berhubung perkara itu kemudiannya bersambung selepas Dewan Rakyat berhenti rehat untuk makan tengahari.
 
 

Tiada ulasan: