Selasa, 20 Oktober 2015

Cabar Hudud: Mahkamah tolak permohonan Gerakan


Cabar Hudud: Mahkamah tolak permohonan Gerakan
Barisan peguam yang mewakili kerajaan Negeri Kelantan. – Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI


PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan tiga individu dari Parti Gerakan untuk memulakan petisyen bagi mencabar perlaksanaan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud) di Kelantan.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati tiada asas yang mencukupi untuk pemohon memulakan tindakan itu.

Dalam penghakimannya, Zaharah berkata, enakmen undang-undang syariah terpakai terhadap mereka yang beragama Islam namun melalui afidavitnya, ketiga-tiga pemohon tidak menunjukkan  mereka beragama Islam.

Selain itu, Zaharah berkata, pemohon tidak menunjukkan mereka terkesan dengan perlaksanaan enakmen berkenaan.

Tiga individu itu adalah Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie.

Mereka selaku pemohon  memfailkan notis usul pada 8 Mei lalu bagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan  Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan  1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud, di sisi Perlembagaan.

Mereka menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden dalam notis usul itu.

Dalam notis usul itu, mereka mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi menghukum perbuatan jenayah, yang boleh dihukum mengikut undang-undang Persekutuan.

Mereka mendakwa keputusan Dun meluluskan pindaan itu adalah tidak sah dan batal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula mereka untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan di sisi perlembagaan, yang telah  dipinda dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac tahun ini untuk memasukkan undang-undang bagi menghukum perbuatan jenayah seperti curi, rompak dan rogol yang telahpun tersenarai dalam Senarai Undang-undang Persekutuan dan boleh dihukum di bawah undang-undang Persekutuan.


Tiada ulasan: