Isnin, 19 Oktober 2015

BUKAN HANYA GST, NAIK TOL PUN UNTUK TAMBAH BR1M RUPANYA....

shahbudindotcom





Apakah yang dapat kita rasakan dengan Najib Razak sejak kebelakangan ini?

Makin bagus kepimpinannya?  Kian lemah berfikir, hilang daya usaha  dan semakin lupa dengan janji-janjinya? Sudah hilang tumpuan dan cakap apa saja sesuka hatinya?

Atau apa sebenarnya sudah jadi dengan satu-satunya Perdana Menteri yang ada wang derma RM2,600 juta ini?

Sebagai usaha mempertahankan kenaikan kadar tol dalam bandar yang bermula Khamis lalu, Najib berkata, kerajaan terpaksa membenarkan peningkatan itu kerana jika tidak berbuat demikian, bantuan BR1M terpaksa dikurangkan.

Katanya, ini kerana kerajaan mempunyai kewangan terhad yang terpaksa memilih sama ada membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol atau menyalurkan wang yang sama kepada rakyat melalui BR1M.

Anda tak naikkan tol, kena bayar pampasan, kurang wang untuk benda lain, kurang wang untuk BR1M, tambah Najib lagi.

Sungguh aneh sebenarnya kenyataan Najib ini. 

Pertama, beliau nyata sudah lupa atau buat-buat lupa dengan janjinya sendiri untuk mengurangkan kadar tol dalam bandar sepertimana dilafazkannya sebelum PRU 13 lalu.

Kalau sudah tahu kenaikan tol diperlukan untuk menampung BR1M, kenapa suka sangat "berjanji  bulan madu"  dengan rakyat?

Oleh kerana Najib selalu mengunjungi Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din, pantang saja terdengar pemimpin pembangkang itu tidak sihat atau dimasukkan ke hospital, maka ada baiknya beliau mengambil kesempatan bertanya sendiri dengannya apakah hukumnya orang yang mengingkari janji yang dibuatnya.

Kalau orang biasa yang menjatuhkan hukum, lebih-lebih lagi di media sosial, tentu saja ia tidak diyakini. Jadi, ada baiknya pemimpin Pas yang sedang dipuji dan dipuja itu mengajar hukum agama kepada Najib.

Yang kedua, apa kaitannya tol dalam bandar dengan penerima BR1M? Apakah semua pengguna tol dalam bandar merupakan penerima BR1M dan adakah juga semua penerima BR1M adalah pengguna tol dalam bandar?

Jika jawapannya ya, kenaikan kadar tol itu mungkin boleh diterima logiknya, tetapi jika sebaliknya atau kaitannya hanya sipi-sipi saja, terbukti Najib kian lemah daya fikir serta usahanya untuk mendatangkan kemakmuran dan semakin menunjukkan beliau tidak layak lagi memimpin rakyat negara ini.

Untuk memberikan kemakmuran kepada rakyat, kita tentu saja memerlukan pemimpin yang boleh berfikir dengan lebih baik dan seterusnya berusaha juga dengan lebih gigih untuk masa depan negara, bukannya  watak yang hanya mampu "main bedal" saja dalam menangani sesuatu isu.
Yang ketiga, apakah Najib lupa beliau pernah mengatakan sebelum ini bahawa cukai GST diperkenalkan adalah antaranya untuk menambah jumlah wang BR1M yang diterima oleh rakyat berpendapatan rendah.

Berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan pada 19 Mei 2015, Najib ada menyebut, "kita harus memahami bukan hasrat kerajaan mahu susahkan rakyat, kita perkenalkan GST dengan menambahkan BR1M umpamanya sebanyak RM300, malangnya bila dah dapat banyak yang senyap."

"Sebaliknya kalau barang naik sikit, timbul rungutan. Kita dah sedar ada sedikit sebanyak kenaikan harga tetapi ada timbal balasnya yang diberikan kerajaan melalui kenaikan BR1M, pengurangan cukai pendapatan antara satu hingga tiga peratus, pengurangan cukai korporat dan sebagainya."

Apa ni Ah Jib Gor? Kenakan GST untuk BR1M, naikkan kadar tol pun untuk BR1M juga!!

Apalagi agaknya selepas ini kenaikan yang akan dibebankan kepada rakyat untuk menampung pemberian BR1M itu?

Tidak cukupkah cukai GST yang menurut Kastam bagi tahun 2015 saja kutipannya dijangka berjumlah RM7 bilion untuk menampung pemberian BR1M tersebut, sehingga kenaikan tol dalam bandar juga dibenarkan untuk tujuan yang sama?

Sengsara sangatkah kedudukan kewangan negara sekarang ini? Tidak adakah cara lain seperti meningkatkan penjimatan dan mengurangkan "horey horey" dalam menguruskan negara?

Berbalik kepada soalan awal tadi - adakah semua ini menunjukkan kepimpinan Najib makin bagus, kian lemah, hilang daya usaha, lupa pada janji, hilang tumpuan atau apa sebenarnya?

Berapa lama lagikah kita sanggup berperdana-menterikan pemimpin "tak semenggah" dan hilang daya berfikir seperti ini?

Tiada ulasan: