Selasa, 20 Oktober 2015

'BN hendak keluarkan saya dari PAC'

Tony Pua
Tony Pua
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua menegaskan beliau tidak pernah melanggar mana-mana peraturan PAC termasuk membocorkan maklumat siasatan jawatankuasa itu kepada umum.

Menurutnya, mana-mana maklumat yang disampaikan kepada umum hanyalah melibatkan maklumat yang telah disebut Pengerusi PAC sebelumnya.

"Saya tak tahu sama ada nak bimbang atau tidak. Jelas bahawa BN nak saya keluar dari PAC. Yang saya boleh katakan dikatakan di sini bahawa saya tidak pernah langgar mana-mana peraturan PAC, saya tidak pernah bocorkan maklumat yang dibincangkan dalam PAC yang belum didedahkan kepada umum.

"Jika Pengerusi PAC sebut tentangnya, saya akan sebut tentang apa yang pengerusi cakap. Jika maklumat itu tidak didedahkan kepada umum, saya akan tutup mulut," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: PAC kena siasat 1MDB, bukan Tony Pua]

Sebelum ini, Pengerusi PAC yang baharu, Datuk Hasan Ariffin dilaporkan berkata, bahawa mesyuarat PAC akan datang bakal menentukan nasib Tony Pua berhubung kedudukannya dalam jawatankuasa itu susulan kelantangannya mengkritik 1MDB.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara juga menjelaskan bahawa sebarang pendedahannya terhadap mana-mana dokumen dibuat bukan diambil dari mesyuarat PAC.

"Bekas Pengerusi, Datuk Nur Jazlan (Mohamed) sudah banyak kali dalam mesyuarat dan di luar mesyuarat menegaskan bahawa sebarang maklumat yang saya sentuh... contohnya kenyataan saya hari ini, berdasarkan kepada dokumen yang sumbernya di luar PAC.

"Jika esok Sarawak Report dedahkan perjanjian antara 1MDB dengan mana-mana syarikat, saya akan komen terhadap dokumen itu dan ia tidak kacau siasatan PAC kerana dokumen itu tidak diperoleh dari mesyuarat PAC," katanya.

Beliau turut menyatakan penerimaanya terhadap hasrat Hasan agar siasatan 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

"Saya menantikan saat untuk bekerja dengan pengerusi yang baharu dan saya terima kenyataan pengerusi baharu yang mahukan siasatan 1MDB siap secepat mungkin dengan tangan terbuka.

"Itu harapan yang kami kongsi bersama," katanya.

Hasan dilantik menggantikan Nur Jazlan untuk mengendalikan PAC semalam.

Tiada ulasan: