Khamis, 1 Oktober 2015

Beranikah JAIPP tegur Najib melalui khutbah?

tengku zul

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP Pahang mempersoal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sama ada mereka memiliki keberanian menegur Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkaitan hal ehwal Islam melalui khutbah.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata Perdana Menteri itu pernah membuat kenyataan menolak hudud atas alasan tertentu tetapi tidak pula dikecam melalui khutbah.

“Beranikah mufti memberi ‘nasihat’ secara terbuka apabila Najib membuat kenyataan menolak hudud?
Mengapa berdiam diri apabila Najib meminta model yang dituduh minum arak, merayu bagi mengelakkan hukuman syariah iaitu sebat?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman semalam yang enggan mohon maaf berhubung khutbah pada sambutan Aidiladha minggu lalu.

Sebaliknya, Abdul Rahman pula mahu DAP memohon maaf kerana mendakwa ‘campur tangan dalam hal ehwal Islam’ sedangkan parti itu sekadar tidak mahu agama diperalat untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Mengikut laporan MalaysiaKini pada 24 September 2011, Najib dilapor berkata hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang itu dikuat kuasa.

Dalam kes minum arak, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 1 Disember 2008 mendenda RM5,000, selain hukuman enam sebatan terhadap model, Kartika Sari Dewi Shukarnor selepas mengaku bersalah berbuat demikian.

Bercakap kepada RoketKini, Tengku Zulpuri turut menyelar Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Sidek Mohd Noor yang menyifatkan teks khutbah itu bukan ‘fitnah tetapi nasihat’.

“Itu tuduhan, bukan nasihat. Kalau nasihat, panggil elok-elok dan cakap baik-baik. Bukannya dibuat secara terbuka yang secara tidak langsung menghukum secara persepsi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menunggu tempoh lima hari yang diberi kepada JAIP untuk menarik balik teks khutbah dan memohon maaf, berakhir sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Masih dalam tempoh bertenang. Biarlah mereka cakap macam-macam. Kita tak gelabah atas kenyataan mereka. Lagipun, kami sedang teliti aspek perundangan,” katanya.

Sebelum ini, DAP mendesak JAIP menarik balik teks khutbah yang menggambarkan dakwaan palsu kononnya parti itu menentang Islam. – Roketkini.com


Tiada ulasan: