SUBANG JAYA,  Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan tidak akan ada lagi catuan air untuk pengguna di negeri itu.

Kata Azmin, krisis air selesai apabila Air Selangor mengambil alih sepenuhnya operasi Syabas dan Puncak Niaga pada 15 Oktober ini.

“Saya telah memberi jaminan, dengan pengurusan baru Air Selangor dan projek mitigasi dua yang akan disiapkan Oktober ini, tiada lagi kekurangan bekalan air terawat sama ada untuk penggunaan domestik mahupun industri di Selangor.

“Saya telah buat buat pengumuman, tidak ada lagi catuan air di Selangor kerana pada ketika ini kita mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi dan air terawat dalam margin yang memuaskan,” katanya dalam program ‘Sembang Santai Teh Tarik bersama Azmin’ di Hotel Empire di sini hari ini.

Menurut Azmin, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah perlu bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk beberapa tahun akan datang.

Selain itu kata Azmin, kerajaan negeri juga telah memberikan segala bentuk kelulusan kepada Projek Langat 2 yang menjadi pertikaikan sebelum ini bagi memastikan projek tersebut siap pada waktu yang ditetapkan.

“Pada 30 Oktober ini, kerajaan negeri akan mengumumkan dua projek besar bagi menangani masalah ini kerana rizab tunai yang kita ada besar, jadi saya mahu gunakan untuk kepentingan rakyat Selangor.

“Saya beri jaminan Air Selangor akan dibekalkan cukup dari segi kuantiti dan kualiti yang baik.

“Dalam tempoh setahun sahaja, saya telah dapat selesaikan masalah air di negeri Selangor,” katanya