Khamis, 1 Oktober 2015

AMK gesa Najib beri tekanan ke atas Israel di PBB, OIC

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Perdana Menteri bertindak lebih tegas dengan mengetegahkan isu pencerobohan Israel ke atas Masjid Al Aqsa di Majlis keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sambil mengecam keras tindakan terbaharu rejim Israel, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pertubuhan-pertubuhan antarabangsa perlu memberi tekanan kepada rejim itu agar menghentikan kekejaman kepada rakyat Palestin.

masjid-624x358“Tentera Israel tetap tidak menghiraukan kecaman masyarakat antarabangsa terhadap tindakan mereka yang menyeksa masyarakat Islam dan Kristian di Palestin dan hari demi hari kerajaan Zionis dengan sengaja memburukkan lagi keadaan.

“Kini, dengan pencerobohan kiblat pertama umat Islam, mereka jelas hendak memperkasakan lagi penguasaan Zionis di tanah suci itu dan mencabar kesabaran umat Islam seluruh dunia,” katanya pada kenyataan media.

Sehubungan itu, AMK menyarankan rakyat Malaysia menyokong pengisytiharan ‘Hari Kemarahan’ dengan menghadiri bantahan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat esok.

“Dunia Barat, khususnya Amerika, perlu berlaku jujur tentang pencerobohan dan kezaliman di Palestin dan tidak tunduk kepada lobi Israel lagi,” ujarnya.

Perkarangan Al-Aqsa menyaksikan pertempuran sejak dua minggu lalu apabila warga Palestin bertindak mempertahankan masjid suci ketiga umat Islam daripada pencerobohan pihak berkuasa Israel.

Di Bethlehem, penunjuk perasaan dilapor membaling batu dan bom api ke arah pihak berkuasa Israel di sempadan dalam pertempuran Selasa lalu.

Selain mengakibatkan sejumlah bangunan di sisi Masjid Al-Aqsa rosak teruk, tentera Zionis Israel juga dilapor menahan penduduk Palestin yang terlibat dalam pertempuran berkenaan.

Perkarangan Al-Aqsa di Bandar Lama Baitulmaqdis menjadi rebutan dan konflik di antara Palestin dan Israel selepas rejim Zionis menawan timur Baitulmaqdis daripada Jordan pada 1967.

Tiada ulasan: