Rabu, 7 Oktober 2015

Adakah Mereka Berani Derhaka Titah Raja?

A Kadir Jasin 
 

RAJA-RAJA Melayu telah bertitah.

Pertama, mereka menitahkan agar kerajaan menyelesaikan secepat mungkin penyiasatan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kedua, mereka mahu tindakan sepatutnya dan tegas diambil ke atas orang-orang yang dibabitkan.
Menjunjung kasih Tuanku.

Kita mahu lihat sama ada kerajaan, bermula dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, akan mentaati perintah Raja-Raja Melayu itu atau menderhakainya.
 
Mohd Najib Orang Besar Pahang

Seyogia diingatkan, Mohd Najib bukan setakat Pahlawan Bugis, beliau juga adalah salah seorang Orang Besar Berempat Pahang. Pastinya beliau arif mengenai kedaulatan Raja-Raja.

Kita juga mahu lihat sama ada Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Bin Haji Ali, Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya, Suruhnjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) Abu Kassim Mohamed,Gabenor Bank Negara (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) taat kepada Raja-Raja Melayu atau setia dan takut kepada Mohd Najib.

Peranan Peguam Negara (Mohamed Apandi) amat penting

Bukan amalan harian bagi Majlis Raja-Raja mengeluarkan titah mengenai pentadbiran negara. Tetapi apabila ia mengeluarkan titah mengenai penyiasatan 1MDB, pastilah ia sangat mendesak dan diperlukan.
 
Dalam erti kata lain, Raja-Raja Melayu berasa tidak boleh berdian diri lagi.

Pertimbangkan fakta-fakta berikut yang terkandung dalam titah mereka yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, (Datuk Seri) Syed Danial Syed Ahmad semalam:

1. Raja-Raja Melayu menekankan peri pentingnya semua pihak yang terbabit memberikan kerjasama  "sahih dan ikhlas" demi memastikan penyiasatan itu mencapai matlamat.

2. Hasil penyiasatan mesti dilaporkan secara terperinci dan telus supaya orang ramai yakin terhadap keikhlasan kerajaan tidak menyembunyikan fakta dan kebenaran.

3. Kegagalan memberi penjelasan dan jawapan yang meyakinkan dikhuatiri menyebabkan berlakunya krisis keyakinan.

Natijahnya, kecuali Mohd Najib dan para penyokong ekstrem beliau sudah hilang akal, "mereng" dan derhaka kepada Raja, mereka akan melakukan seperti yang dititahkan.




Tiada ulasan: