Selasa, 6 Oktober 2015

Ada sekolah benarkan aktiviti luar ketika jerebu

SINAR HARIAN


 Jerebu Sarawak
Gambar hiasan


KUALA SELANGOR - Kementerian Pendidikan menerima laporan terdapat sekolah yang masih membenarkan pelajar mereka menjalankan aktiviti di luar bilik darjah ketika keadaan jerebu.

Timbalan menterinya, P. Kamalanathan berkata pengetua dan guru besar perlu menjaga kesihatan pelajar dengan memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti luar.

"Saya menerima laporan satu dua sekolah masih menjalankan aktiviti luar bilik darjah dalam keadaan jerebu ini...kalau IPU (Indeks Pencemaran Udara) cecah 120, 130 ataupun 150 jangan adakan aktiviti di luar bilik darjah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vageesar di sini, hari ini.

IPU antara 0 dan 50 dikategori baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah berbahaya.

Kementerian Pendidikan telah mengarahkan semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan ditutup dua hari bermula hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC berkata MIC membantah sebarang gesaan menghapuskan sekolah Tamil di negara ini kerana berpendapat aspek perpaduan dapat dipupuk di sekolah berkenaan.

Katanya, sekolah Tamil turut melahirkan pelajar India yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi memandangkan hampir 50 peratus penuntut India di institusi pengajian tinggi merupakan bekas pelajar sekolah Tamil.

Sementara itu, Kamalanathan berkata kementeriannya memperuntukan RM500,000 kepada SJKT Vageesar yang dibina pada 1936 bagi pembinaan bangunan baharu melibatkan empat bilik darjah.

Selain itu, beliau berkata Selangor bakal mempunyai tiga sekolah Tamil baharu iaitu di Bandar Mahkota, Cheras; Taman Sentosa, Klang dan Petaling Jaya Selatan 1 selewatnya-lewatnya tahun depan.

"Bagi sekolah Taman Sentosa, proses tender sudah bermula dan kementerian sudahpun mengenalpasti kontraktor," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: