Selasa, 6 Oktober 2015

50,000 peniaga kecil terjejas akibat jerebu

 
Peniaga kerugian sehingga 60 peratus pendapatan semasa kerana kekurangan pelanggan.


jerebu


KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 peratus atau 50,000 usahawan kecil dan sederhana seluruh negara terjejas akibat masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, jerebu telah menjejaskan industri perhotelan, pelancongan, restoran dan perniagaan kecil.

Katanya, peniaga kerugian sehingga 60 peratus pendapatan semasa akibat masalah jerebu yang semakin berlarutan itu.

“Kita terima banyak aduan daripada peniaga menerusi telefon hampir setiap hari. Apa yang mereka luahkan ada hubung kaitnya dengan masalah jerebu yang sedang melanda negara pada masa ini.

“Mereka mahu agar kerajaan bertindak dengan lebih tegas dalam menangani perkara itu dan tidak terlalu memberi muka kepada Indonesia,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Ridzuan mendesak agar kerajaan Indonesia lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah yang berulang saban tahun.

“Kerajaan Indonesia seharusnya bukan sahaja meminta maaf tetapi menangani masalah jerebu dengan segera.

“Sudah tiga tahun kejadian jerebu ini berlaku…. Kita lihat sehingga hari ini kerajaan Indonesia tak pandang serius.

“Keadaan ini menjejaskan kesihatan dan memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil di tepi-tepi jalan khususnya hingga mereka terpaksa mengalami kerugian akibat kekurangan pelanggan,” katanya.

Tiada ulasan: