Selasa, 1 September 2015

Wakil rakyat kena letak jawatan kerana terikat dengan baiah - Takiyuddin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa wakil partinya yang menang dalam pilihan raya umum lalu agar meletakkan jawatan selepas mereka secara rasminya mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara. 
 
Beliau berkata, perkara ini perlu dilakukan berdasarkan baiah yang ditandatangani oleh bekas ahli parti itu.
 
"Mana-mana ahli PAS yang memenangi kerusi Dewan Negeri dan Dewan Rakyat atas tiket PAS tetapi menyertai parti lain, mereka perlu meletakkan jawatan sebagai berdasarkan baiah yang ditandatangani oleh mereka.
 
"Baiah ialah satu dokumen 'Akujanji' oleh ahli yang bakal menjadi calon wakil rakyat mewakili PAS supaya setia dengan parti," katanya dipetik Sinar Harian.
 
Ujar Takiyuddin, walaupun dari segi undang-undang mereka masih sah menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing namun menurut beliau, mereka perlu meletakkan jawatan kerana telah menandatangani baiah tersebut.
 
"Mereka masih lagi sah menjadi wakil rakyat. Tetapi, sekiranya mereka bermoral, mereka perlu meletakkan jawatan.
 
"Sekiranya tidak meletakkan jawatan, mereka mengakui bahawa elaun yang mereka ambil ini adalah haram. Itu adalah dari segi agama dan mereka perlu mempertimbangkan perkara tersebut," katanya sambil menambah, tiada tindakan tatatertib akan diambil kepada mana-mana ahli parti yang keluar daripada parti untuk menyertai parti Islam baharu itu.
 
Beliau berkata, ia berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli adalah disebabkan oleh tiga perkara iaitu atas permintaan sendiri, dipecat dan mengisytiharkan diri keluar PAS atau menyertai parti politik lain.
 
"Jadi, sekiranya mana-mana ahli parti yang menyertai Parti Pekerja Malaysia (Parti Amanah Negara), maka secara automatik, mereka bukan lagi ahli PAS," katanya.
 
Keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi diisytiharkan sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB), semalam. 
 
Kesemua dua belas wakil rakyat berkenaan adalah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam), Hanipa Maidin ( Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
 
Lima lagi adalah ADUN termasuk Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib)

Tiada ulasan: