Jumaat, 11 September 2015

TMJ tidak berminat dengan FAM

 
Baginda enggan duduk semeja dengan mereka yang tidak bekerjasama.


tmj,-fam


PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menegaskan Baginda tidak berminat untuk memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baginda memberikan alasan enggan duduk semeja dengan mereka yang tidak boleh bekerjasama, dan mereka tidak boleh digugurkan kerana telah dipilih melalui undian.

Jelas TMJ lagi kebanyakan daripada mereka yang menjawat di dalam FAM mempunyai agenda tersendiri dan bukannya untuk memartabatkan bola sepak negara.

“Seluruh negara tahu saya selalu berterus terang. Saya lebih suka berterus terang daripada cuba untuk berdiplomasi. Saya lebih cenderung sekiranya orang yang menguruskan FAM itu adalah adil, neutral dan tidak pilih kasih kepada mana-mana pasukan tertentu, dan yang penting sekali, dia hendaklah bersih dan tidak korup.

“Kepada rakyat Johor dan Malaysia sekalian… Bukan seperti sesetengah orang, saya tidak sesuai menjadi Presiden FAM. Ianya adalah kerana satu sebab, dan satu sebab sahaja. Saya cintakan Johor, dan saya tentu sekali akan berat sebelah sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan Johor. Oleh kerana konflik kepentingan sedemikian, saya bukanlah calon yang sesuai untuk menyandang jawatan tersebut,” titah Baginda di Facebook Johor Southern Tigers.

Kenyataan berkenaan sebahagian daripada reaksi TMJ terhadap insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam ketika skuad negara bertemu Arab Saudi.

Katanya apa yang berlaku telah merosakkan reputasi FAM.

“Saya ingin menegaskan bahawa FAM yang telah mencemarkan imej negara selama 31 tahun, sejak di bawah pentadbiran presiden yang sebelumnya lagi. Walaupun saya tidak bersetuju dengan tindakan penyokong tetapi saya faham ketidakpuasan hati mereka kerana badan induk pentadbir bolasepak negara tidak serius dalam usaha meningkatkan mutu bolasepak Malaysia,” titah Baginda.

Tiada ulasan: