Ahad, 20 September 2015

Tampar imam: Lelaki direman dua minggu

MALAYSIAKINI


 


Lelaki warga asing yang menimbulkan kekecohan di Masjid Negara semalam, kini direman polis bagi membantu siasatan.

Suspek yang memiliki kewarganegaraan India itu juga ditahan sebagai pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata, polis mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk menahan lelaki tebabit sehingga 2 Oktober ini.

Semalam jemaah Masjid Negara yang sedang mendirikan solat Jumaat gempar apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba menampar imam bertugas, Mohd Zuhairee Mohd Yatim.

Menurut maklumat polis, dalam kejadian itu, lelaki asing terbabit menolak badan imam sebelum menamparnya dan cuba mengambil alih tugas mengetuai solat.

Kejadian itu membuatkan solat Jumaat terganggu sebentar.

Menurut polis lagi, lelaki 31 tahun itu kemudian ditarik keluar oleh petugas masjid dan diserahkan kepada polis bertugas.

Dia ditangkap dan dibawa ke balai polis Tun HS Lee tidak jauh dari situ untuk tindakan lanjut.

“Siasatan juga dapati suspek nampak seperti tidak siuman dan bercakap seorang diri.

“Menurut suspek semasa solat tersebut dia telah terdengar suara halus memintanya untuk menjadi imam semasa solat Jumaat tersebut berlangsung,” katanya.

Zainol berkata, ketika tangkapan lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Hanya pada kira-kira jam 10.30 malam rakan serumah suspek menyerahkan pasportnya kepada polis.

"Polis membuat semakan di Jabatan Imigresen untuk mengenal pasti status ketulenan pasport berkenaan," katanya.

Menurut Zainol pemeriksaan awal mendapati suspek masuk ke negara ini pada 18 Jun lalu menggunakan pas lawatan sosial.

"Polis mendapati pas berkenaan sudah tamat tempoh," katanya.



Tiada ulasan: