Khamis, 24 September 2015

Skandal 1MDB: DAPSY bantah penahanan Khairuddin tanpa bicara

Khairuddin-1024x696-1024x696

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Sosialis Muda DAP (DAPSY) hari ini membantah keras penangkapan dan penahanan semula Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan semata-mata kerana pimpinan kerajaan mahu menutup mulut seorang pemberi maklumat berhubung skandal 1MDB yang memalukan negara.

Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan telah ditahan selama 28 hari tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu undang-undang yang sepatutnya digunakan untuk melawan pengganas dan keganasan (terrorism).

Ketua Biro Undang-undang DAPSY Kebangsaan, Damian Yeo Shen Li, berkata kerajaan Barisan Nasional tidak patut menjadikan SOSMA sebagai alat pihak berkuasa, kerana Khairuddin hanya membangkitkan isu mengenai skandal 1MDB.

Katanya,  skandal 1MDB serta isu “derma politik” berjumlah RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, serta siasatan dan penahanan pegawai-pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam siasatan skandal tersebut, telah menimbulkan keraguan dan ketidakpercayaan di kalangan rakyat.

“Kami ingin mengetahui apa yang telah terjadi dan berlaku kepada siasatan terhadap keseluruhan kes 1MDB yang melibatkan berbilion wang ringgit di mana sehingga kini masih tiada sebarang jawapan ke atas isu lanjutan ini.

“Oleh yang demikian pihak DAPSY menyeru agar pihak berkuasa dan polis agar membuat siasatan yang rapi tanpa takut atau memihak secepat mungkin supaya keyakinan rakyat kepada pihak berkuasa dan polis dapat dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua DAPSY Melaka berkata, penyalahgunaan undang-undang yang sepatutnya menjamin keselamatan rakyat adalah bertentangan dengan janji dan jaminan kerajaan BN sendiri.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri di Parlimen sebelum ini, katanya, menteri telah memberi jaminan bahawa SOSMA dan juga Akta Pencegahan Keganasan (POTA) tidak digunakan sebagai senjata politik, manakala timbalan menterinya pula pernah memberi jaminan bahawa SOSMA bukan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurutnya, Datuk Zahid Hamidi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah berkata bahawa ‘Tiada satu perkataan di dalam akta yang dicadangkan ini membenarkan ia digunakan ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang berbeza ideologi politiknya’. – Roketkini.com


Tiada ulasan: