Khamis, 24 September 2015

Sekarang Annuar Musa kata tiada perkauman dalam Islam



Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa mendakwa tidak pernah mengakui amalan perkauman wujud di dalam Islam, sebaliknya katanya, Nabi Muhammad juga mengecam perbuatan sebegitu yang dipanggil ‘asabiyah’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 23 September, 2015.Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa mendakwa tidak pernah mengakui amalan perkauman wujud di dalam Islam, sebaliknya katanya, Nabi Muhammad juga mengecam perbuatan sebegitu yang dipanggil ‘asabiyah’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim.
 
 
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa, yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana dilaporkan berkata beliau bersikap rasis seperti yang dibenarkan Islam, hari ini mendakwa kenyataan beliau disalah petik. 
 
 Beliau mendakwa tidak pernah mengakui amalan perkauman wujud di dalam Islam, sebaliknya katanya, Nabi Muhammad juga mengecam perbuatan sebegitu yang dipanggil "asabiyah."

Annuar berkata, beliau hanya mengaku bersifat perkauman jika ia ditakrifkan sebagai cintakan kaum sendiri.

"Mencintai kaum anda sendiri tidak salah, itu bukan assabiyah. Tetapi jika anda menindas kaum lain, itu asabiyah," Annuar kepada pemberita di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kuala Lumpur. 
 
"Saya kata, jika orang mahu mengatakan saya rasis kerana saya mempunyai semangat kemelayuan yang tinggi, maka ya, saya rasis jika itu tafsiran yang anda mahu gunakan."

Katanya, tabiat semulajadi manusia menyayangi kaumnya sendiri, dan mereka yang menafikannya adalah hipokrit.

Annuar juga enggan dikaitkan dengan kenyataan perkauman dibuat peserta perhimpunan baju merah, mengatakan beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu dan beliau sendiri pernah mengingatkan pemimpin agar tidak melanggar undang-undang.

Beliau menyeru mereka yang menjadi mangsa mana-mana peserta perhimpunan agar membuat laporan polis mengenainya.

"Mereka itu tertakluk kepada undang-undang, dan tindakan mesti diambil. Tangkap saja mereka, senang. Tiada siapa pun sepatutnya mengatasi undang-undang," kata Annuar.

Annuar berkata, perhimpunan tersebut bukan idea Umno dan parti itu sebenarnya membantah sebarang demonstrasi berbaur perkauman di kawasan perniagaan didominasi orang Cina.

Tetapi, apabila cakap-cakap mengenai orang Melayu memprotes terhadap Bersih 4 di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur itu mula membina momentum, beliau masuk campur memainkan peranan sebagai penasihat supaya semuanya dalam keadaan terkawal.

"Saya fikir kalau kami tak masuk campur dan ia terjadi, ia akan mengakibatkan pertumpahan darah dan kita akan menyaksikan peristiwa 13 Mei berulang lagi," katanya.

Kerana itu, katanya, beliau mengusahakan supaya perhimpunan dipindahkan ke Padang Merbok dan menamakannya semula sebagai "Himpunan Rakyat Bersatu".

"Kalau anda lihat 14 resolusi yang dibaca pada penghujung perhimpunan itu, tiada langsung disebut mengenai menghapuskan sekolah Cina atau berjuang hanya untuk orang Melayu."


Tiada ulasan: