Jumaat, 11 September 2015

'Saya minta bayaran tapi depa tak bagi pun'

'Saya minta bayaran tapi depa tak bagi pun'
Tun Dr Mahathir selepas menyaksikan tayangan perdana filem Kapsul, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI 
 
 
 
TIDAK pernah berlakon dan pada usia 90 tahun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya muncul dalam filem pertamanya, Kapsul yang bakal ditayangkan di pawagam, 17 September ini.
 
Antara persoalan yang berlegar, sudah tentulah berapa bayaran yang diterima Dr Mahathir sebagai pelakon kameo dalam filem itu?
 
Namun pihak produksi mengesahkan bahawa lakonan Dr Mahathir dalam filem itu tidak dikenakan bayaran ataupun percuma.
 
Dr Mahathir sempat berseloroh bahawa beliau ada meminta bayaran namun tidak diberi.
 
Jawapannya itu mengundang tawa para penonton dan pihak media yang hadir pada sidang media selepas Tayangan Perdana Filem Kapsul, malam tadi.
 
“Saya minta (bayaran) tapi depa tak bagi apa pun,” guraunya.
 
 
Menceritakan pengalamannya berlakon, Dr Mahathir ‘mengadu’ hanya diberi skrip beberapa minit sebelum penggambaran bermula.
 
“Pada hari penggambaran baru saya diberitahu apa yang saya patut cakap (dialog). Latihan itu hanya beberapa minit. Tak patut dia (produksi) buat macam ini. Saya ingat dua atau tiga kali ‘take’ juga,” katanya yang sekali lagi menugundang tawa tetamu yang hadir.
 
Akui puas hati dengan hasil filem itu, namun Dr Mahathir seolah-olah membayangkan tidak akan terlibat dengan mana-mana produksi lagi selepas ini.
 
“Saya masih menggeletar…tak pernah jadi pelakon. Saya fikir cukuplah,” katanya.
 
Kemudian beliau menambah, “saya dah boleh cerita kepada orang, saya biasa jadi pelakon.”
 
Gurauannya itu sekali lagi mencetus sorakan tetamu. Menurut Dr Mahathir juga, beliau hanya bersetuju terlibat dengan filem itu tanpa memberikan sebarang idea.
 
Ketika ditanya tentang aktiviti menonton wayangnya bersama Tun Dr Siti Hasmah Ali, Dr Mahathir berkata, mereka berdua jarang menonton wayang namun mereka akan pergi menonton sekiranya ada filem seperti Avatar yang menggunakan teknologi canggih.
 
Kapsul merupakan filem cereka yang diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam Dr Mahathir suatu ketika dahulu di mana isi kandungannya masih menjadi rahsia sehingga 1 Januari 2020 kelak.
 
Ia mengisahkan perjalanan Zohri Ibrahim lakonan Faizal Hussien secara tidak sengaja dibawa mengembara ke zaman silam dimana dia dapat menyelami sendiri perubahan zaman daripada sebelum merdeka. 
 
Idea filem ini adalah hasil interpretasi penulis tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Dr Mahathir.

Tiada ulasan: