Selasa, 29 September 2015

Salleh sindir Kit Siang tidak tahu kelajuan internet di Malaysia

 
Majoriti pelanggan memilih pakej internet murah yang perlahan walaupun penyedia menyediakan perkhidmatan internet yang kelajuan tinggi. 


salleh-keruak_lim-kit-sing_600


PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang veteran, Lim Kit Siang mungkin tidak sedar tentang pelbagai kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia apabila beliau merungut tentang internet yang perlahan di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pengguna di negara ini boleh memilih kadar 20 megabit sesaat (Mbps) jika mereka mahukan perkhidmatan Internet kelajuan lebih tinggi.

Beliau membuat penjelasan itu bagi menyangkal dakwaan Anggota Parlimen Gelang daripada DAP itu bahawa Salleh sebagai Menteri tidak prihatin dengan kelajuan Internet di Malaysia yang lemah.

“Sebenarnya terdapat pelbagai kadar kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia namun begitu kira-kira 71 peratus daripada pengguna Internet Malaysia lebih menyukai pakej jalur lebar Streamyx yang lebih perlahan dengan menawarkan kelajuan antara 384 Kbps sehingga 1 Mbps,” katanya dalam posting terkini di blog beliau, sskeruak.blogspot.my..

Bagaimanapun, Salleh berkata, meskipun kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi boleh didapati, namun, majoriti pelanggan akan melanggan pakej lebih murah, justeru lebih perlahan.

Mengambil maklum bahawa beberapa negara termasuk Singapura dan Thailand mempunyai pelbagai kelajuan Internet sehingga 5Mbps, Salleh berkata, Malaysia juga boleh meningkatkan kelajuan internet ke tahap yang sama, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia membeli pakej kelajuan lebih tinggi.

“Tetapi itu bermakna kos akan turut menjadi lebih tinggi dan penggunaan internet akan dinikmati hanya oleh mereka yang mampu membayarnya.

“Jadi kesudahannya ia berbalik kepada soal kemampuan dan Malaysia menawarkan Internet yang mampu dibayar oleh mereka yang mahu memanfaatkannya manakala, internet berkelajuan lebih tinggi pula kepada golongan yang pada mereka wang bukanlah satu masalah,” katanya.

Sambil membidas Kit Siang kerana hanya bercakap tentang kelajuan, Salleh berkata tumpuan Malaysia adalah kelajuan, liputan dan kemampuan.

“Kami mahu memastikan bahawa pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada Internet. Kami juga mahu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus daripada kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 Mbps,” katanya.

Kit Siang dilaporkan menyindir Salleh dan kecenderungan beliau menulis dalam blog untuk mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan memberi tumpuan kepada infrastruktur Internet Malaysia.

Tiada ulasan: