Isnin, 7 September 2015

Saifuddin perli Rahman Dahlan cuba cari kesalahan penganjur Bersih 4

 
Saifuddin Abdullah berkata Rahman Dahlan cuba menegakkan benang yang basah dengan mencari apa saja kesalahan penganjur Bersih 4.0 walaupun melibatkan kesalahan kecil.


saifuddin-rahman


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyindir tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang sengaja mencari kesalahan penganjur Bersih 4.0.

Menerusi Facebooknya, Saifuddin memuatnaik status yang mendakwa Abdul Rahman dan kerajaan seolah-olah mahu menegakkan benang yang basah.

Beliau mengaitkan tindakan Rahman memuatnaik gambar pejabat yang bukan pejabat penganjur Bersih 4.0.

Katanya, walaupun menyedari gambar rumah yang dimuatnaik di akaun Twitter itu bukan pejabat Bersih, namun Rahman tetap mahu mencari apa sahaja kesalahan terhadap penganjur Bersih biarpun kesalahan itu kecil dan remeh.

“Setelah kantoi kerana Bersih 4.0 aman/tak kecoh seperti yang diharapkannya, maka kini mereka (kerajaan) cari/gali (cipta?) apa saja kesalahan walau paling kecil/remeh sekalipun.

“Pokoknya, Bersih 4.0 mesti dipersalahkan/dihukum. Eg, dikenakan caj kebersihan.

“Siap ambil gambar pejabat Bersih dan kutuk pejabat tu kononnya kotor. Tahu-tahu bil dihantar ke alamat yang salah!,” katanya.

Sebelum ini, Rahman berkata pegawainya akan cuba menghantar sekali lagi bil pembersihan kepada penganjur Bersih 4.0 pada minggu hadapan selepas percubaannya yang pertama gagal kerana dihantar ke alamat salah.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dilaman Twitter, Rahman Dahlan menyiarkan gambar rumah usang dan mendakwa ia sebagai pejabat penganjur Bersih.

Status itu kemudian dibalas Aktivis Bersih, Mandeep Singh yang menafikan rumah itu bukan pejabat Bersih

“@mpkotabelud untuk makluman anda, ini bukan @pejabat bersih2. Tertanya-tanya, siapa yang pilih anda jadi menteri?” sindirnya.

Dalam perkembangan terkini, Mandeep Singh memberitahu penganjur Bersih 4 telah menaikkan kain rentang di hadapan pejabat mereka untuk membantu pegawai Rahman Dahlan menghantar bil pembersihan itu.
 
“untuk membantu pegawai-pegawai Rahman Dahlan, kami telah menaikan banner di hadapan pejabat kami,” tulisnya di Facebook.
 
 

Tiada ulasan: