Jumaat, 11 September 2015

PKR harap Mat Taib gempur Felda, tarik ahli Umno

MALAYSIAKINI


 


PKR akan menggunakan dua ayam tambatan barunya untuk menggempur penguasaan Umno di kawasan luar bandar, khususnya Felda, serta memantapkan rangkaian dengan NGO Islam.

Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata demikian dalam kenyataannya sempena penyertaan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Taib dan anggota parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar ke parti itu.

Azizah berkata mereka mengharapkan pengalaman Muhammad sebagai menteri besar keselas Selangor dan bekas naib presiden Umno untuk menjelaskan pelbagai isu ke peringkat bawahan.

Ini, katanya termasuk isu sekitar kontroversi 1MDB dan pengaliran dana berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Setiap hari kita mendengar suara tokoh dan aktivis Umno sendiri yang hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan tertinggi mereka.

“Gejala ini pasti akan mendorong mereka mencari wahana yang boleh dipercayai untuk meneruskan perjuangan.

“Dalam konteks ini, penyertaan Muhammad tentunya tidak sendirian selain beliau boleh memainkan peranan untuk mensejahterakan rakyat khasnya di desa dan luar bandar serta menarik penyertaan dan sokongan mereka terhadap PKR,” kata Azizah.

Muhamad juga akan berperanan memperkasa biro penerangan dan komunikasi, khususnya untuk “mengangkat martabat masyarakat luar bandar” termasuk komuniti Felda.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meraih sokongan luar bandar selepas lebih sedekad PKR menjadikan bandar sebagai teras sokongan,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin, sebelum ini wakil rakyat PAS, juga diberi tugas memperkukuh dan memberdaya pejabat ketua umum PKR.

“Beliau juga akan berperanan sebagai pengarah politik dan dasar bagi memberi input kepada presiden dan timbalan presiden,” kata Azizah.

Azizah juga percaya Kamaruddin mampu memperkukuh rangkaian dengan NGO Islam berdasarkan pengalaman sebagai bekas setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

PKR hari ini mengumumkan penyertaan Kamaruddin dan Muhammad.
Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib sebelum ini membuat keputusan mengejut dengan menyertai PAS.

Baru-baru ini, ketika pergolakan dalaman parti Islam itu, beliau dilihat rapat dengan kumpulan serpihan PAS Gerakan Harapan Baru (GHB), yang kemudiannya membentuk Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Sementara Kamaruddin juga dikaitkan dengan AMANAH, sehingga menimbulkan kesangsian Pemuda PAS Kelantan yang semalam mendesak beliau menyatakan pendirian sebenar.

Penyertaan kedua-dua tokoh itu sukar difahami dalam perkembangan politik pembangkang ketika mereka cuba membentuk gabungan baru melibatkan PKR, DAP, PAS dan AMANAH.


Tiada ulasan: