Khamis, 24 September 2015

Persepsi memalukan terhadap Malaysia

FREE MALAYSIA TODAY
 
 
Isu 1MDB dan siasatan yang dijalankan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) seperti dilaporkan oleh New York Times dan dipetik oleh beberapa pemberitaan di merata dunia telah memberi persepsi negatif terhadap Malaysia.
 
 
 
ashamed
Oleh Yunus Tasim


Kita bangga

Rakyat Malaysia yang menaikkan nama Malaysia di persada dunia sentiasa dialu-alukan. Samada di bidang sukan, di bidang seni, atau di peringkat kenegaraan. Rakyat Malaysia akan turut bangga dengan pencapaian Bangsa Malaysia.

Yang terus menaikkan nama Malaysia di mata dunia pasti akan disanjung. Malah jasa mereka itu akan menerima habuan. Wang ringgit, hadiah dan ada kalanya gelaran. Sedangkan pelakon antarabangsa Shahrukh Khan dan Jackie Chan, serta penyanyi Rossa dari Indonesia dapat gelaran Datuk, walaupun ramai rakyat masih tertanya-tanya apakah jasa mereka itu dalam menaikkan nama Malaysia.

Balik China, balik India

Begitulah pula sebaliknya. Mereka yang dianggap ‘memburukkan’ nama Malaysia dikecam. Kecaman itu terkadang bersifat melampau dan tidak berasas. Malah ada segelintir orang Malaysia yang menuntut supaya ditarik kerakyatan mereka. Tak kurang pula yang menyuruh orang Cina kembali ke negeri China, dan orang India dihantar ke negeri India. Ini semua lantaran anggapan mereka kononnya orang yang berkenaan itu telah merosakkan imej Malaysia. Ada yang lantaran berdemonstrasi di luar negara. Tapi kini pasti tidak lagi kerana demonstrasi jalanan telah menjadi halal dengan adanya Perhimpunan Maruah Melayu berbaju merah.

Kini bangsa dan negara Malaysia sedang menghadapi situasi yang amat memalukan. Jatuh imej dan maruah Malaysia. Kita bukan sahaja malu di rantau Asean, tapi telah menjangkau di Amerika dan Eropah.
Sungguh mengaibkan! Kalau dulu, rakyat Malaysia begitu bangga untuk menyatakan kita ini Bangsa Malaysia. Tapi kini, kalau boleh kita nak jadi seperti burung ostrich, sorokkan kepala ke dalam tanah.

Berita 1MDB menjangkau seluruh dunia

Isu 1MDB yang dilaporkan oleh New York Times sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika atau FBI telah menjadi tajuk berita di seluruh dunia. New York Times (NYT) melaporkan inkuiri yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat bukan hanya menyiasat Najib tetapi juga Riza Aziz, anak tiri Najib dan ahli perniagaan Jho Low yang dilaporkan mempunyai hubungan dengan Najib, Rosmah dan 1MDB.

Bulgaria News memaparkan imej Najib dengan memetik berita WSJ yang Najib sedang disiasat FBI. Berita Thailand memetik media US akan perkara yang sama. Begitu juga pemberitaan di Vietnam, Spanyol, Korea dan WSJ edisi Jepun memetik laporan tentang penyiasatan FBI terhadap 1MDB. Chinese News membawa tajuk FBI Menyiasat Najib yang mengujudkan dana 1MDB.

Pemberitaan di Russia membawa laporan FBI sedang menyiasat penggubahan wang haram melalui 1MDB. Russian LOL menyelitkan berita Najib dan 1MDB di bawah tajuk ‘Switzerland cannot decide what to do with the money of dictators’. Pemberitaan yang kebanyakan diambil dari laporan New York Times itu telah menjadi berita di 10 buah Negara di dunia. Ini belum lagi kesan dari internet dan media elektronik yang menjangkau ke seluruh dunia.

Kesan negatif pemberitaan 1MDB

Pastinya imej Najib akan makin popular di persada dunia. Dan persepsi terhadap Malaysia pasti turut sama melonjak naik. Tapi sayang bukan atas perkara yang baik, tetapi atas sebab dan perkara yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Kita takut laporan-laporan itu akan menyebabkan Malaysia akan dikenali sebagai negara di mana kononnya rasuah berleluasa, dari peringkat bawah sampai peringkat tertinggi.

Walaupun belum sabit kesalahannya, tetapi kita tidak dapat elak persepsi orang terhadap kita. Sayang sekali, perkara yang masih dalam penyiasatan telah menjadi sensasi yang negatif terhadap Malaysia. Tentu rakyat Malaysia tidak ingin nama Malaysia yang harum mewangi sejak 30 tahun yang lalu tercemar. Buruk imej Malaysia akan memburukkan lagi prestasi ekonomi kita. Pelabur luar negara akan hilang keyakinan untuk melabur dan ini akan mengurangkan FDI masuk ke negara kita. Juga pasti akan memberi kesan negatif kepada peniaga luar negara yang ingin berurusan dengan rakyat Malaysia. Dan tentunya banyak lagi kesan sampingan terhadap negara dan kehidupan rakyatnya.

Kembalikan imej Malaysia yang positif

Bangsa Malaysia yang cintakan Malaysia mestilah berganding bahu membersihkan kekotoran ini dan mengembalikan imej Malaysia yang positif. Kita mahu pihak berwajib bertindak segera. Jika dulu ada segelintir rakyat Malaysia menuntut supaya yang didakwa memburukkan nama Malaysia di tarik kerakyatan atau di hantar pulang ke ‘negara asal’ mereka, apakah tuntutan yang sama dilakukan dalam kes yang tenat dan memalukan ini?

Tepuk dada tanya iman dan hati nurani anda!

(*)  Yunus Tasim adalah pembaca FMT

Tiada ulasan: