Jumaat, 11 September 2015

Penganjur serah notis perhimpunan 16 Sept

MALAYSIAKINI





Penganjur 'Himpunan Rakyat Bersatu' diwakili Datuk Megat Zulkarnain Omardin hari ini, menyerahkan notis kepada polis bagi mengadakan perhimpunan pada 16 September ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata notis itu diserahkan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, bagaimanapun penganjur masih perlu menunggu kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami telah berjumpa dengan penganjur kira-kira pukul 11 pagi tadi yang dihadiri Datuk Megat Zulkarnain selaku setiausaha agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia dan wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan Melayu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Pihak penganjur berjanji perhimpunan ini akan diadakan secara aman dan mereka akan meletakkan pasukan-pasukan untuk mengawal keselamatan peserta yang hadir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya polis juga masih menunggu kelulusan DBKL mengikut Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk tindakan selanjutnya.

Perhimpunan Rakyat Bersatu diketuai oleh Pesaka bersama 250 NGO lain diadakan sebagai membantah penganjuran himpunan BERSIH 4 baru-baru ini.- Bernama


Tiada ulasan: