KUALA LUMPUR, Menjelang sambutan Hari Sungai Sedunia, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyeru rakyat negara ini memberi perhatian terhadap isu pencemaran air yang kian meruncing.


Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma berkata, isu itu telah menjadi masalah serius di Malaysia yang membawa kesan negatif terhadap kelestarian sumber air negara.

Di Klang dan Kuala Langat khususnya, kualiti air di perairan terbabit semakin merosot, disebabkan pembuangan sisa domestik ke dalam sungai, terutamanya dari kawasan perumahan dan perindustrian, juga pelepasan sisa pembangunan tanah dan pertanian.

Pertumbuhan ekonomi yang pesat dan pertambahan populasi menyebabkan permintaan untuk bekalan air bertambah yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pelepasan air sisa.

“Air sisa dari kawasan perumahan, komersial dan perindustrian menyebabkan bau busuk, khasnya dengan kehadiran sampah yang menjejaskan kualiti air hujan dan mencemarkan ekologi sungai,” kata Sharma dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, sungai tercemar turut mendatangkan kesan negatif ke atas tumbuh-tumbuhan serta organisma dan secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara, kerana kos merawat air tercemar adalah tinggi.

Menurut laporan kualiti alam sekitar yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, tahap pencemaran untuk 5.3 peratus daripada 473 sungai adalah 36.6 peratus, pada 2013.

“Walaupun peratusan sungai tercemar berkurangan sebanyak 1.7 peratus berbanding 2012, peratusan sungai yang sedikit tercemar meningkat sebanyak 2.6 peratus.

“Masalah pencemaran air kini semakin serius, dengan laporan menunjukkan trend menurun,” tegasnya.

Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia pada Ahad ini, rakyat Malaysia digesa memikirkan kepentingan untuk memulihara sungai-sungai di negara ini.