KUALA LUMPUR, MCA menggesa penganjuran sebarang perhimpunan dihentikan pada masa depan, susulan ancaman-ancaman yang dibuat ketika dan selepas Perhimpunan Rakyat Bersatu, pada minggu lalu.


Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara itu, kerana menganggap perhimpunan itu boleh “mengancam dan memecahbelahkan negara”.

Beliau bukan sahaja merujuk perhimpunan baju merah pada 16 September lalu, tetapi juga perhimpunan Bersih 4 yang menurutnya juga menampakkan “elemen-elemen tidak diingini”, iaitu perbuatan memijak gambar pemimpin.

“Ini jelas bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Malaysia yang baik.

“Perhimpunan besar-besaran akhirnya membawa kepada konfrontasi ganas, kerana peserta dari kedua-dua pihak akan cuba mencabar satu sama lain.

Semua ini bukan sahaja akan menjejaskan perpaduan dan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA, hari ini.

Bercakap mengenai perhimpunan pada 16 September lalu, Liow tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan yang mendakwa ia adalah perhimpunan aman dan peserta bertindak mengikut undang-undang, kerana wujud elemen-elemen keganasan.

“Ia adalah jelas peserta perhimpunan itu mahu mencetuskan ketakutan dan ketegangan kaum. Kata-kata dan tindakan mereka bertujuan menakut-nakutkan dan sama seperti ugutan jenayah ke atas peniaga-peniaga di Petaling Street secara umumnya dan masyarakat Cina secara khususnya.

“Kata-kata seperti ‘Cina Babi’ dan ‘Hapuskan SJKC’ tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Liow juga mahu Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos. 

“Saya ingin menegaskan sekali lagi mengenai isu Jamal dan juga Ali Tinju, MCA memandang serius perkara ini . 

“Apabila individu terbabit melanggar undang-undang, melanggar Akta Hasutan, dan seperti yang kita tahu, kedua-duanya telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, Peguam Negara harus bertindak,” katanya.

Ali Tinju telah memberi amaran kepada polis sebelum perhimpunan pada 16 September lalu, bahawa orang-orangnya akan berwaspada terhadap sebarang provokasi yang dilakukan orang Cina.

Susulan perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu, sekumpulan orang Melayu mendakwa mereka dihina dan maruah tercabar.

Ia susulan tindakan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4 lalu.

Perhimpunan baju merah yang diketuai Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) bersama 250 NGO lain, diadakan bagi membantah penganjuran himpunan Bersih 4, hujung bulan lalu.

Semalam, Jamal memberi amaran mungkin berlaku rusuhan di Petaling Street Sabtu ini, disebabkan tidak ada sebarang tindakan dari kerajaan ke atas peniaga-peniaga di Petaling Street yang menjual barangan tiruan.