Jumaat, 11 September 2015

Pas Pahang gesa Syed Hamid letak jawatan




Adun Kuala Semantan keluar Pas

Syed Hamid (kiri) menyerahkan borang keahlian menyertai Parti Pekerja Malaysia kepada Dr Hamzah.


TEMERLOH – Pas Pahang menggesa supaya Timbalan Pengerusi Parti Pekerja Malaysia negeri Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed meletak jawatan sebagai Adun Kuala Semantan kerana beliau tidak lagi mewakili parti Pas selepas secara rasmi mengumumkan keluar parti, semalam.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, mana-mana wakil rakyat ahli Pas yang mahu keluar parti harus meletak jawatan kerana mereka bertanding atas kerusi Pas sebelum ini.

“Memang dari segi bai’aih Pas Pahang berbeza dengan negeri Kelantan tetapi dari segi moral beliau perlu letak jawatan yang disandang sekarang sebagai wakil rakyat Dun Kuala Semantan.

“Dia bertanding guna logo dan atas kerusi Pas, sekarang dia bukan lagi ahli Pas. Dari segi moral dia perlu letak jawatan yang disandang sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, Pas Pahang seiring dengan Pas Pusat di mana penjawat jawatan terutama mereka yang menang pada pilihan raya lalu perlu menyerahkan kembali jawatan dengan cara meletak jawatan yang disandang sekarang.

Dalam pada itu, Syed Hamid ketika dihubungi menyatakan, beliau sedia meletakkan jawatan sekiranya boleh bertanding semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau boleh bertanding balik saya sedia letak jawatan esok, tapi peraturan tidak benarkan begitu.

“Tidak adil bagi saya untuk lepaskan jawatan kerana rakyat menaruh kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Kuala Semantan keluar Pas]

Beliau berkata, kemenangan selama dua penggal di Kuala Semantan atas tiket Pas dan menerima sokongan daripada pelbagai kaum khususnya Melayu dan Cina.

Semalam, Syed Hamid, secara rasmi mengumumkan keluar dari parti Pas untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia selepas melihat hala tuju Pas semakin bercelaru.

Beliau berkata, keputusan dibuat selepas merasakan Pas kini bukan lagi sebuah parti yang kondusif dan eksklusif buat semua peringkat masyarakat seperti yang berlaku pada muktamar Pas lalu.

Menurutnya, hala tuju politik Pas dilihat semakin bercelaru dan banyak kenyataan dibuat seolah-olah tidak lagi mengutarakan kepentingan pemerintah di peringkat nasional.


Tiada ulasan: