Ahad, 20 September 2015

Nama Kevin diabadi di Moot Court MACA

FREE MALAYSIA TODAY

Ia bagi mengenang sumbangan mendiang dan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-48 Badan Pencegahan Rasuah (BPR)/SPRM.


kevin,morais


KUALA LUMPUR: Nama mendiang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Anthony Kevin Morais yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, akan diabadikan di ‘Moot Court’ Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata kemudahan itu akan dikenali sebagai Moot Court Kevin Morais susulan keputusan pengurusan tertinggi badan itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata satu majlis khas bagi mengenang sumbangan mendiang akan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-48 Badan Pencegahan Rasuah (BPR)/SPRM pada 1 Oktober ini.

“Seluruh warga kerja SPRM menyanjung dedikasi tinggi yang telah diperlihatkan mendiang selama berkhidmat dengan SPRM,” katanya merujuk kepada Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara.

Moot Court MACA digunakan dalam penyediaan program latihan berkaitan perundangan dan pendakwaan kepada pegawai SPRM yang mengikuti latihan asas siasatan dan perundangan.

Mayat Morais, 55, ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini Rabu lepas, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di sini pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana kelabu.

Tujuh orang setakat ini ditahan berhubung kes pembunuhan itu.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata urusan pendakwaan kes rasuah membabitkan seorang doktor hospital tentera akan dikendalikan seorang DPP kanan yang kini berkhidmat di SPRM, susulan ketiadaan mendiang.

Menurutnya, dedikasi dan komitmen mendiang akan menjadi semangat kepada pegawai-pegawai SPRM untuk meneruskan misi SPRM, khususnya dalam kes rasuah berkenaan.-BERNAMA

Tiada ulasan: