Jumaat, 11 September 2015

Nak keluar parti silakan, jangan beri alasan - Tuan Ibrahim

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli-ahli PAS tidak perlu berdolak-dalik dalam memberikan alasan jika mahu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan ADUN Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed yang mengumumkan keluar dari PAS untuk menyertai Amanah semalam.
 
"Kalau hendak keluar parti (sertai Amanah) tidak perlu bagi alasan. Kalau nak keluar, keluar saja tidak perlu salahkan parti, salahkan itu ini. Lebih baik kita (mereka yang keluar parti) keluar senyap sahaja.
 
"Tak perlu kata kita tidak setuju dengan PAS, kita keluar sajalah. Sebab alasan itu (yang diberikan), macam-macam boleh beri alasan. Realitinya jentera PAS yang memenangkan dan bagi saya, itu hak masing-masing untuk keluar parti," katanya kepada Antarapos.
 
Syed Hamid adalah ADUN keenam yang bertindak keluar parti dan menyertai Amanah.
 
Lima lagi adalah ADUN Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).
 
Sebelum ini, tujuh ahli PAS merangkumi Datuk Dr Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam), Hanipa Maidin ( Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat) terlebih dahulu meninggalkan parti itu.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim turut berkata semua Ahli Parlimen dan ADUN yang bertindak keluar parti seharusnya mengosongkan kerusi masing- masing biarpun telah membayar kafarah seperti yang dituntut dalam baiah.
 
"Bagi parti, kita minta sebagaimana yang dalam akujanji kalau dia (Syed Hamid) lompat parti dia kena kosongkan kerusi, dan beri mandat baru kepada pengundi kawasan dia, sebab dia menang atas tiket PAS".
 
"Itu baiah dia (yang dilafazkan pada Pilihnaraya Umum ke 13), ada dua perkara iaitu sumpah dan akujanji (baiah). Tentang sumpah itu, boleh bayar kafarah tapi yang kedua ialah baiah itu mesti ditunaikanlah," ujarnya.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin PAS menunaikan kafarah masing-masing dalam bentuk memberi makan kepada golongan fakir miskin.
 
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak dapat menjangkakan tindakan ahlinya keluar parti kerana ia dilakukan oleh mereka pada saat-saat akhir.
 
 

Tiada ulasan: