Jumaat, 11 September 2015

Najib tak pernah kenal Altantuya, tegas PMO

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
 
 
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan menafikan laporan yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantunya Shaaribuu.
 
Kenyataan itu dibuat susulan penyiaran dokumentari pembunuhan Altantunya oleh Al-Jazeera hari ini.
 
"Perdana Menteri tidak tahu, tidak pernah bertemu dan tidak pernah berhubung dan tidak mempunyai hubungan sama sekali dengan Altantunya," menurut kenyataan itu.
 
“Dua individu yang disabitkan bersalah bukan pengawal peribadi Perdana Menteri. Dakwaan ini tidak benar dan digunakan untuk mendukung teori konspirasi yang tidak berasas.
 
“Mereka anggota sebuah unit Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang memastikan keselamatan secara bergilir-gilir kepada pegawai kerajaan dan orang kenamaan yang datang melawat.
 
“Perdana menteri tidak tahu berhubung tindakan individu itu sehinggalah mereka ditangkap,” menurut kenyataan yang dimuat naik ke laman web Al-Jazeera itu lagi.
 
Dilaporkan, wartawan Al-Jazeera, Mary Ann Jolley yang terbabit dalam pembikinan dokumentari khas itu telah diusir keluar dari negara ini.
 
101 East yang disiarkan Al-Jazeera memaparkan laporan terperinci mengenai pembunuhan Altantunya yang dibunuh dan dibom pada Oktober 2006.
 
Dalam jenayah yang menarik perhatian media tempatan dan antarabangsa, misteri pembunuhan Altantuya kekal misteri hampir sembilan tahun.
 
Kenyataan itu juga menyebut, proses undang-udang yang menyeluruh telah berlaku, termasuk siasatan polis, perbicaraan mahkamah termasuk di Mahkamah Tinggi Malaysia, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan pihak yang bersalah telah disabitkan kesalahan dan dihukum.
 
"Tanpa bukti pada mana-mana peringkat undang-undang yang menyabitkan Perdana Menteri walaupun secara tidak langsung.
 
"Oleh itu, ini adalah tuduhan yang berniat jahat dan juga penghinaan kepada badan kehakiman Malaysia.
 
"Musuh-musuh politik dan sekutu media mereka telah cuba untuk menyerang Perdana Menteri mengenai isu ini untuk beberapa tahun.
 
"Namun tiada bukti sebarang salah laku dan  tidak pernah ada dan dakwaan adalah palsu dan didorong oleh kepentingan politik. 
 
Dalam kenyataan itu juga, PMO turut menafikan Altantuya terlibat dalam pembeli kapal selam untuk Tentera Laut Diraja Malaysia seperti yang didakwa. 
 
"Pembelian itu telah dirunding secara langsung oleh kerajaan Malaysia dan Perancis. Perimekar adalah 40 peratus dimiliki oleh Malaysian Armed Forces Fund Board (LTAT), sebuah badan berkanun kerajaan.
 
"Perimekar telah dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk mengendalikan semua logistik, latihan dan penyelarasan bagi pihak Tentera Laut Diraja Malaysia. Latihan tersebut melibatkan apa yang perlu bagi kapal selam dan juruteknik untuk mengendalikan kapal selam.
 
"Tentera Laut tidak mempunyai tenaga kerja untuk mengendalikan perkara-perkara ini dalam tempoh lapan tahun pembinaan kapal selam dan penyelarasan logistik. Ini satu kontrak perkhidmatan bagi kerja yang dilakukan dan telus.
 
Tambah kenyataan itu lagi, siasatan Perancis dikatakan berkaitan dengan kemungkinan sebarang 'sogokan' yang mungkin telah dibayar oleh syarikat-syarikat Perancis kepada pegawai Malaysia untuk mendapatkan kontrak kapal selam. 
 
"Terdapat siasatan yang sama ke dalam kontrak pertahanan Perancis dengan Taiwan dan India. Perjanjian asal telah ditandatangani pada tahun 2002.
 
"Tidak pernah ada apa-apa komunikasi daripada hakim siasatan kepada Perdana Menteri.
 
PMO turut menafikan salah laku di pihak Perdana Menteri dalam pembelian kerajaan untuk kapal selam. Sama sekali tidak ada bayaran yang pernah mendapat manfaat kepadanya.
 
"Sekali lagi, ini tuduhan tidak berasas untuk kepentingan politik," menurut kenyataan itu lagi. 


Tiada ulasan: