Khamis, 24 September 2015

MP dan ahli DAP buat laporan polis terhadap Jamal

MALAYSIAKINI

 


Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan beberapa ahli DAP lain telah membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkaitan kenyataan beliau mengenai kemungkinan rusuhan di Petaling Street pada hari Sabtu.

Merujuk kepada laporan berita mengenai kenyataan Jamal semalam, mereka menggesa polis menyiasat perkara itu dan membuat tangkapan.

"Kami minta polis menyiasat kata-kata provokatif dan ancaman yang dinyatakan oleh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dalam artikel itu.

"Kami juga mendesak polis mengambil tindakan tangkapan dengan segera," demikian menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi ini.

Sementara itu, The Star memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim sebagai berkata Jamal akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata jika benar Jamal melahirkan kata-katan ancaman itu dan dia didapati menghasut rusuhan, maka polis akan mengambil tindakan.

Noor Rashid juga dilaporkan berkata bahawa pihak polis akan memanggil Jamal dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan memberitahu pemberita bahawa Jamal kini disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan rusuhan, tetapi pihak polis juga mempunyai kuasa di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah untuk membuat tangkapan bagi mengelak sebarang jenayah.

Selain itu, beliau berkata, polis akan menggerakkan anggotanya di Petaling Street sebagai langkah berjaga-jaga.

Tiada ulasan: