KUCHING,  Keadaan jerebu di Indonesia memaksa mesyuarat dua hala yang dijadualkan esok ditunda pada tarikh lain.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata, beberapa daerah di Indonesia telah diisytiharkan darurat dan rakan setugasnya di negara itu terbabit dalam operasi jerebu.

“Kami telah bersertuju untuk mengadakan pertemuan pada tarikh lain sehingga keadaan pulih di Indonesia,” kata Wan Junaidi.

Lebih 427 titik panas dikesan di Kalimantan semalam dan kualiti udara di daerah Tengah Kalimantan mencecah lima kali ganda tahap bahaya daripada 350 kepada 1995 pada Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Malaysia dijadualkan untuk mengadakan perbincangan berkenaan penggunaan api sifar untuk perladangan di tanah gambut dengan pihak Indonesia serta isu lain berkenaan jerebu.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuklah penguatkuasaan undang-undang, sistem amaran awal api, pengurusan tanah gambut dan kerjasama antara negara Asean termasuk Singapura, Brunei dan Thailand.
Perjanjian dua hala jerebu rentas sempadan pernah dibuat dua tahun lalu.

Sementara itu, Sarawak merekodkan tahap kualiti udara sederhana di seluruh negeri dengan jarak penglihatan kurang 2,500 meter.