PUTRAJAYA, Seorang individu digelar ‘Man Solo’ yang giat dalam aktiviti pecah rumah di sekitar Putrajaya secara berseorangan sejak dua tahun lalu akhirnya menemui noktah apabila dia akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Lelaki berusia 43 tahun itu diberkas polis di Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur 28 Ogos lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan, suspek ditahan setelah polis berjaya mengesannya ekoran kes pecah rumah yang dilakukan di Presint 14 Putrajaya pada 14 Ogos yang melibatkan kehilangan barang kemas dan gajet bernilai kira-kira RM18,000.

Beberapa peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, gergaji besi, pemutar skru dan kerambit dirampas dari beg sandangnya ketika ditahan, katanya.

Setelah disiasat ‘Man Solo’ mengaku terlibat dalam 45 kes pecah rumah di Putrajaya, kata Rosly.
“Empat cap jarinya ditemui dalam dua kes di Putrajaya pada 2013, satu kes pada 2014 dan satu kes tahun ini.

“Cap jarinya turut ditemui dalam satu kejadian pecah rumah di Ampang, Selangor,” jelas Rosly lagi.
Sehari sebelum ‘Man Solo’ diberkas iaitu pada 27 Ogos, seorang lelaki yang juga berumur 43 tahun disyaki bertindak sebagai penjual barangan yang dicuri oleh ‘Man Solo’ ditahan di Jalan Batu Bata off Jalan Ipoh, juga di ibu negara.