Ahad, 20 September 2015

Mampukah capai misi 60,000 pemegang PhD pada 2023?

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap pelbagai isu pendidikan negara termasuk usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.
 
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Abdul Aziz berkata, dalam pada itu Pemuda Pas menyambut baik peningkatan ranking universiti di Malaysia yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings 2015/2016 baru-baru ini.
 
"Universiti Malaya (UM) yang melonjak kepada kedudukan 146, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)  masing-masing meningkat kepada kedudukan 289 dan 331. 
 
Ia menggambarkan status universiti di Malaysia yang semakin baik dan usaha mengangkat martabat akademik di negara ini perlu dipertingkatkan lagi.
 
"Namun, usaha tersebut perlu seiring dengan peningkatan kualiti pendidikan dan kebajikan kepada para pelajarnya. 
 
"Pelbagai isu-isu kebajikan para pelajar seperti isu pendidikan percuma yang tidak mendapat reaksi yang positif dari pihak kerajaan, malah sehingga kini tiada usaha digemblengkan bagi merealisasikan hasrat pendidikan percuma di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Dalam pada itu Nik Abduh berkata negara, juga perlu menfokuskan kepada sasaran untuk melahirkan lebih ramai graduan Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana.
 
"Begitu juga sasaran 24,300 pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD)  dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana yang disasarkan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 yang melabuhkan tirainya tahun ini. Apakah kita masih 'on track' ke arah mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD menjelang 2023?
 
"Tambahan pula, isu "hutang pendidikan" yang dijana kerajaan terhadap rakyatnya sendiri melalui "bantuan" pendidikan PTPTN. Ramai dikalangan pelajar yang baru bergraduasi dikelilingi dengan hutang mencecah puluhan ribu ringgit. Apakah ia suatu isu terpencil bagi kerajaan yang kelihatannya lebih memperbesarkan isu ketidakbayaran hutang berkenaan?," katanya.
 
Menyentuh lanjut, Nik Abduh berkata ini termasuk juga isu campur tangan parti pemerintah di beberapa universiti tempatan yang menyebabkan langkahan sumbang terhadap tahap kebebasan akademik di negara kita. Kesemua ini perlu diperbaiki dan diperhatikan secara serius oleh pihak kerajaan.
 
"Pemuda Pas ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu pendidikan di negara kita masih lagi penuh dengan kelompangan. Tugas menaiktaraf ranking terletak dibahu ahli akademik, manakala tugas menaiktaraf kualiti dan kebajikan terletak dibahu pihak berkuasa, maka bergeraklah seiring mencapai status pendidikan yang terbaik di dunia," katanya.
 
 

Tiada ulasan: