Selasa, 1 September 2015

Letaklah jawatan wakil rakyat PAS secara bermaruah jika nekad bersama GHB - Nasrudin

 Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS tetap mahu wakil rakyatnya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) meletakkan jawatan tersebut yang dimenangi mereka atas tiket parti Islam itu secara bermaruah.
 
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan, polemik yang tercetus selepas kekalahan besar kumpulan progresif pada pemilihan Jun lalu sewajarnya dinilai dari aspek ketaatan kepada parti.
 
"Ia ada dua keadaan, yang pertama sekiranya mereka rasmi menubuhkan parti baru dan menyertai parti baru secara automatik mereka gugur keahlian (dalam PAS)," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Justeru beliau menegaskan kesemua wakil rakyat PAS yang menyertai seharusnya melepaskan jawatan berkenaan yang dimenangi atas tiket parti itu yang turut mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama untuk diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum.
 
"Jadi apabila mereka gugur keahlian parti maka secara bermaruah, sewajar dan selayaknya mereka kena meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
 
"Sebab mereka menang kerusi itu adalah atas tiket PAS dan mereka lulus menjadi calon pun mewakili PAS yang dipersetujui oleh ahli jawatankuasa kerja PAS dan diluluskan Majlis Syura Ulama," katanya.
 
Beliau mengulas mengenai kedudukan 12 wakil rakyat PAS yang menyertai GHB berikutan gesaan sebelum ini agar mereka meletakkan jawatan berkenaan kerana melanggar bai'ah dan mengkhianati parti.
 
Bagaimanapun beberapa wakil rakyat yang berkenaan membidas kembali dengan mempersoalkan gesaan sedemikian kerana bagi mereka baiah adalah kepada  Pakatan Rakyat (Pakatan) dan bukan kepada PAS saja.
 
Bagaimanapun keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi diisytiharkan  sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang ditubuhkan melalui GHB.
 
Mereka terdiri daripada Datuk Dr Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr Mohd Hatta Ramli (Parlimen  Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam), Mohamad Hanipa Maidin (Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
 
Sementara lima ADUN berkenaan adalah Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari  Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).
 
Pimpinan dan ahli yang menyokong GHB bakal dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin PAS 
 
Tegas Nasrudin  yang juga Ahli Parlimen Temerloh, tiada alasan untuk mereka terus memegang jawatan wakil rakyat kerana telah mengkhianati bai'ah serta prinsip perjuangan parti itu.
 
"Jadi mereka bertanding atas tiket PAS dan apabila mereka menyertai parti baru maka sudah wajarlah mereka kena meletakkan jawatan.
 
"Itu kalau masih ada sedikit maruah pada mereka," katanya.
 
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata sekiranya pemimpin serta anggota PAS hanya menyokong GHB namun tidak keluar parti maka mereka akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin.
 
"Tapi kalau sekiranya mereka hanya menyokong dan tidak keluar daripada PAS sikap mereka telah menumpahkan taat setia atau ketaatannya kepada parti lain.
 
"Maka mereka ini akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk parti fikirkan apakah tindakan paling wajar dikenakan ke atas mereka sebab kedudukan mereka pada ketika itu sangat merugikan parti dan meletakkan parti dalam keadaan lemah kalau tidak diambil tindakan," katanya.
 
Untuk rekod Pengerusi GHB Mohamad Sabu semalam mengumumkan Parti Amanah Negara atau 'Amanah' digunakan sebagai nama rasmi wadah politik gerakan berkenaan yang membariskan bekas pimpinan utama PAS.
 
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata GHB telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula sebuah parti politik sedia ada iaitu Parti Pekerja-pekerja Malaysia sebagai Amanah dan butirannya akan diserah kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan. 


Tiada ulasan: