Rabu, 16 September 2015

Kren tumbang: Fenomena alam atau pesan Tuhan

FREE MALAYSIA TODAY


Setiap ketetapan dan ketentuan segala yang terjadi itu daripada Allah SWT. Tapi tidakkah ia juga membawa maksud Allah SWT sedang menyampaikan pesanan kepada kita?
 
 
 
mecca_cranecrash

Oleh Zain Afzan


Dalam era peradaban manusia moden, setiap apa yang berlaku dikaitkan dengan “sains”. Malah dalam rumpun ilmu yang cukup meluas, fenomena alam semula jadi yang memberi kesan kepada persekitaran (termasuk manusia) juga diperjelaskan dalam “sains”.

Di sekolah kita diajar dengan terma “hipotesis” atau jawapan sementara terhadap kesimpulan awal penelitian. Begitupun, kita tidak didedahkan mengenai ilmu sains hanya mampu merungkai kemungkinan, tetapi bukan kepastian. Hal yang demikian, ramai beranggapan “sains adalah suatu kehidupan”.

Mengambil contoh terbaharu, kejadian sebuah kren di Masjidil Haram, Mekah yang tumbang pada petang Jumaat (11 September 2015) telah meragut 107 nyawa dan mencederakan 238 jemaah. Daripada apa yang kita maklum dan diajar dalam ilmu sains, kejadian sebegini disebabkan fenomena alam seperti ribut dan petir.

Sains bukan jawapan untuk segala kejadian

Pernahkah kita terfikir, Islam mengajar kita tentang perhubungan dengan Allah SWT (Tuhan pemilik sekian alam), manusia, haiwan dan segala yang terkandung di atas bumi Allah ini? Jadi adakah kejadian yang meragut ratusan nyawa itu hanya sekadar disebabkan fenomena alam?

Benar, setiap ketetapan dan ketentuan segala yang terjadi itu daripada Allah SWT. Tapi tidakkah ia juga membawa maksud Allah SWT sedang menyampaikan pesanan kepada kita?

Kren yang tumbang itu difahamkan untuk digunakan bagi kerja–kerja pembesaran Masjidil Haram (ketika ini dalam fasa akhir) bagi menampung sejumlah besar jumlah jemaah Haji di seluruh dunia pada satu-satu ketika. Begitu pun, dengan rekaan model yang lebih “kontemporari” projek bernilai berbilion-bilion ringgit itu sebenarnya telah memusnahkan struktur peninggalan sejarah lama Islam tanpa memikirkan langsung kesannya.

Pembangunan Kota Mekah (termasuk Masjidil Haram) sepatutnya dibawah tanggungjawab semua umat Islam, dan bukannya hak mutlak sesuatu pihak seperti kerajaan Arab Saudi. Meskipun mereka (keturunan Raja Saud) digelar “Penjaga Dua Masjid Utama”, perlu diingat mereka bukannya “Tuan Punya.”

Disebabkan mereka berlagak seperti “Tuan Punya” dan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata, seluruh umat Islam yang menunaikan rukun Islam kelima itu tidak terlepas daripada menanggung bebanannya. Kos mengerjakan haji kini melambung tinggi.

Biaya mengerjakan Haji kini mahal!

Bagi yang pernah menginjak kaki ke kota suci itu, ramai sedia maklum pembangunan yang dijalankan hanya lebih menumpukan kepada keperluan golongan atasan. Daripada tempat penginapan hinggalah tempat makan, ada yang mengenakan caj-caj mahal.

Nilai hartanah di Kota Mekah melonjak lebih 20 kali ganda berbanding 10 tahun lepas. Malah, ada laporan mendakwa nilai hartanah di kawasan yang terbabit dengan projek-projek pembesaran Masjidil Haram adalah antara termahal di dunia!

Hotel berbintang-bintang berjenama antArabangsa (termasuk Yahudi) dengan kadar menginap mencecah ribuan ringgit semalaman, selain pakej Haji yang adakala mencecah ratusan ribu ringgit hanyalah sebagai pengkomersilan melampau di kota suci Mekah.

Komersil? Ya pembangunan yang dirancang dan sedang rancak dilakukan adalah bersifat komersil. Bagi mencegah perbuatan–perbuatan bida’ah, struktur binaan peninggalan sejarah Islam seperti rumah nabi, makam isteri–isteri nabi dan telaga nabi dimusnahkan. Dan digantikan dengan sesuatu yang lebih bersifat komersil seperti Starbucks dan Mc Donalds! Adakah ini bentuk pembangunan “komersil” yang dijalankan di kota suci Mekah?

Seperkara lagi, Raffles Makkah Palace yang terletak berhampiran Masjidil Haram dan Menara Hotel Jam Diraja Mekah dibina, apakah keperluannya? Bukankah ia hanya mengalihkan tumpuan yang sepatutnya beribadah dan melihat Ka’abah?

Ibadah Haji atau Ziarah Haji

Ka’abah sebagai kiblat untuk umat Islam di seluruh pelosok dunia untuk beribadah. Pun begitu, pengkomersilan kota Mekah akhirnya sedikit demi sedikit mengalihkan tumpuan umat Islam daripada apa yang sepatutnya dikerjakan.

Di kalangan jemaah haji, ibadah haji kini lebih menjurus kepada ziarah haji. Daripada tempat beribadah kini kota suci Mekah berubah menjadi pusat komersil ibadah. Justeru – tidak hairan umat Islam yang sepatutnya sudah “mampu” menunaikan rukun haji Islam itu, kini perlu lebih gigih bekerja untuk mendapat sebanyak mungkin wang untuk pergi ke Mekah!

Satu pendapat yang boleh kita raikan mengenai pembangunan kota Mekah lebih kepada menunjukkan kepada kita tanda-tanda kiamat kecil. Pengembala kambing di gurun–gurun (dahulunya) berlumba–lumba membina bangunan pencakar langit (untuk menunjukkan kekayaan).

Petanda ini jelas tercermin dengan sikap masyarakat Arab yang lebih bermegah–megah dengan kemewahan yang mereka punya. Pembangunan yang dilakukan tidak dilihat sebagai satu keperluan, tetapi lebih kepada kehendak untuk menunjuk-nunjuk kekayaan yang akhirnya menodai tempat suci bagi seluruh umat Islam itu.

Bagaimana nasib pelarian Syria?

Satu pendapat lain, juga sebenarnya kecaman dari Barat, sekali pun punya kemewahan yang melimpah ruah, Arab Saudi sepatutnya perlu terkehadapan menghulurkan bantuan dan perlindungan kepada mereka yang memerlukan seperti pelarian Syria yang berbondong-bondong meninggalkan negara mereka itu.

Dalam kebanyakkan laporan antArabangsa menyebut peningkatan ketara pelarian Syria yang memasuki Eropah berbanding negara-negara Arab tidak diberi perhatian. Arab Saudi bagaimanapun menafikan perkara itu dengan secara diam menerima jutaan pelarian Syria sejak pergolakan tercetus.

Persolannya, kenapa Arab Saudi perlu melakukannya secara diam? Kan lebih baik jika memberitahu dunia (seperti memberitahu dunia tentang kemewahan mereka) bahawa negara Islam lain sudi menerima pelarian yang juga seagama Islam dengan kita?

Masyarakat Arab daripada dahulu sememangnya dikenali sebagai sombong dan bongkak. Daripada krisis Palestin, mereka hanya berdiam diri dan tanpa mempedulikan nasib mangsa pelarian. Berbalik kepada perlembagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setiap pelarian sepatutnya diberi hak kerakyatan sementara. Namun sikap pentingkan diri sebahagian negara Arab teluk menafikan hal yang demikian.

Dengan kemewahan yang ada, sepatutnya Arab Saudi perlu mendahului barisan untuk bertindak mengerahkan ketenteraan ke Syria bagi melindungi penduduk Islam. Hakikatnya, disebabkan sifat sombong, bongkak dan pentingkan diri, negara dibawah Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) itu terus berdiam diri.

Dan disebabkan sifat dan perangai itu, kejadian seperti kren tumbang yang berlaku lewat beberapa hari ini hanya dilihat sebagai berpunca daripada fenomena alam, dan bukannya sebagai satu pesanan dari Allah S.W.T, Tuhan Pemilik sekian alam.

(*) Zain Afzan adalah pembaca FMT

Tiada ulasan: