Ahad, 20 September 2015

Kenapa takut sangat dengan Khairuddin, soal Ambiga



Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia 2015 di Petaling Jaya hari ini. Beliau, berkata penahanan reman terhadap Datuk Khairuddin Abu Hassan adalah satu penyalahgunaan kuasa. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 20 September, 2015.Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia 2015 di Petaling Jaya hari ini. Beliau, berkata penahanan reman terhadap Datuk Khairuddin Abu Hassan adalah satu penyalahgunaan kuasa. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 
 
 
Tahanan reman 6 hari yang dikenakan terhadap ahli Umno yang dipecat, Datuk Khairuddin Abu Hassan merupakan satu salah guna kuasa oleh Putrajaya, dan menjadikan Malaysia bahan ketawa dunia, kata Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, reman itu jelas hanya untuk menghukum Khairuddin, dan mempersoalkan apa jenayah yang dilakukan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu.
"Saya terkejut dia ditahan reman selama 6 hari. Reman tidak sepatutnya menjadi satu hukuman. Pada fikiran saya, ia satu penyalahgunaan, menahannya selama 6 hari.

"Mengapa? Adakah kerana dia pergi ke luar negara mengemukakan beberapa dokumen kepada agensi asing? Mengapa takut sangat?" kata Ambiga kepada pemberita ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia 2015 di Petaling Jaya hari ini. 
 
 Semalam, seorang majistret membenarkan polis menahan reman Khairuddin sehingga Khamis.

Beliau sedang disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, menurut peguamnya Matthias Chang.

Bagaimanapun, Ambiga percayai dakwaan itu tidak akan diterima pakai mahkamah.

"Mereka menyamakan perdana menteri dengan demokrasi berparlimen. Maaf, tetapi itu bukan takrif demokrasi berparlimen.

"Ia juga sama sekali satu penyalahgunaan peruntukan dan penyalahgunaan itu mesti dihentikan," katanya.

Beliau berkata, rentetan penangkapan terhadap mereka yang mengkritik kerajaan, juga skandal yang menyelubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memusnahkan reputasi negara.

"Imej kita sangat buruk di luar negara. Negara ini jadi bahan ketawa," kata Ambiga.

"Anda pergi ke luar negara, orang bertanya, 'Apa masalahnya dengan negara anda?' Mereka tak boleh hendak percaya. Begitu banyak janji dibuat. Malaysia menunjukkan begitu banyak janji."

Tangkapan Khairuddin pada petang Jumaat lalu mendapat liputan berita antarabangsa, dengan The New York Times melaporkan semalam beliau sepatutnya bertemu agen daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Isnin.

Khairuddin sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat pada pagi Jumaat bersama Chang tetapi mereka dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau yang dipecat daripada Umno selepas diisytiharkan muflis berkata di laman Facebook miliknya pada Jumaat yang polis mahu menyoal beliau kerana menyerahkan bukti berkaitan skandal 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland.


Tiada ulasan: