Khamis, 24 September 2015

[KEMASKINI] Lantik Anwar jadi PM: Kena ikut undang-undang, kata Khalid Ibrahim

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Cadangan Pakatan Harapan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihanraya umum akan datang perlu merujuk kepada undang-undang, demikian kata bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
"Itu kena ambil kira tentang undang-undang maknanya yang telah ada sekarang samada praktikal atau tidak", katanya kepada Antarapos selepas selesai menemani Sultan Selangor Sultan Sarafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Rahiman.
 
Dalam Persidangan Meja Bulat yang diadakan pada Rabu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku tuan rumah sidang berkenaan mengumumkan pembangkang masih menamakan bekas Ketua Pembangkang itu selaku Perdana Menteri sekiranya berjaya mentadbir negara.
 
Wan Azizah dalam pada itu juga berkata, pembangkang percaya Anwar merupakan pemimpin yang sesuai untuk menangani pelbagai isu nasional.
 
Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu setelah rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Rayuan ditolak selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Anwar sepatutnya tidak boleh bertanding pilihanraya untuk tempoh lima tahun selepas keluar penjara.
 
Lembaga Pengampunan pada April lalu menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.
 
Perkara itu dinyatakan Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh.
 
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.
 
Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.
 
PAS semalam menyifatkan tujuan untuk melantik Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri tidak realistik dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan konklusif kerana masih menjalani hukuman penjara.
 
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata penubuhan Pakatan Harapan oleh gabungan pembangkang ada tujuan tertentu yang masih belum diperlihatkan.
 
"Itu hal usaha politik mereka (Pakatan Harapan) tentu mereka ada sebab yang penting ataupun usaha tertentu jadi tidak payahlah kita (ambil tahu), jadi politik ini memang sentiasa dalam pergolakan jadi apa yang rakyat hendak habis pergolakan itu, tumpuannya ialah kepada usaha pembangunan", katanya.
 
"Ini semua ialah usaha kumpulan yang tersendiri, saya berharap politik bukan akhirnya iaitu pembangunan rakyat yang paling penting. Apapun kita buat kita mesti fikirkan mengenai usaha kita ini menghasilkan pembangunan rakyat".
 
Khalid sebelum ini berkata gabungan pembangkang perlu ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan perselisihan faham antara ahli gabungan.
 
Malah hal dalaman parti gabungan juga katanya tidak perlu dicampuri parti lain demi menjaga kestabilan hubungan antara pembangkang.
 
 

1 ulasan:

Unknown berkata...

kholid kau dah setel hutang ke

elok diam2 je setel hutang dulu

tk perlu komen anwar

beza anwar dn kau mcm intan dan kertas suratkabar lama harakah