KUALA LUMPUR, Pencarian dan siasatan berhubung kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Morais memasuki hari ketiga hari ini dan pihak polis kini menjalankan siasatan ke atas fail kes yang telah didakwanya.


Selain itu, siasatan turut tertumpu kepada kes yang masih belum dibuat pendakwaan dan tertangguh.

Ada di antara kes terbabit yang dilupuskan dan belum dilupuskan, merupakan kes berprofil tinggi membabitkan personaliti daripada dalam dan luar dunia korporat.

Hasil semakan mendedahkan bahawa antara kes berprofil tinggi termasuklah kes rasuah dan satu lagi kes fitnah dan dua kes ini masih belum diselesaikan.

“Ia masih pramatang, namun pada tahap siasatan ini tiada apa yang boleh didedahkan,” kata sumber kepada The Rakyat Post.

Dan siasatan juga turut menjurus kepada rekod sama ada Morais memiliki senjata api atau sebaliknya.

“Bagi seorang yang berjawatan itu dan dengan skop tugasnya, ada kemungkinan dia mungkin memiliki senjata api kerana polis juga sedia maklum bahawa terdapat beberapa pegawai Jabatan Peguam Negara yang memilikinya untuk keselamatan,” jelasnya.

Kebanyakan mereka, menurut sumber itu, membawa senjata api mereka sendiri iaitu revolver yang mudah dilindungi dari pandangan.

Jika terbukti positif, polis dijangka akan menggeledah apartmen Morais untuk mendapatkan bukti sama ada senjata terbabit ditinggalkan atau dia keluar dengan membawa senjata apinya.

Penyiasat juga kini sedang menunggu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen Morais bagi mengesan sama ada wujud aktiviti meragukan.

Pada ketika ini, ia merupakan perkara penting dalam siasatan polis yang mana ia membolehkan mereka boleh menyimpulkan setiap peristiwa yang berlaku sebelum laporan terhadap kehilangan Morais dibuat.

Penyiasat juga masih menunggu laporan forensik terhadap sebuah kereta yang ditemui terbakar di Hutan Melintang, Perak, semalam.

Berita kehilangan Morais mendapat perhatian media cetak dan elektronik dan penyiasat juga risau akan keraguan pelbagai laporan yang diterima yang disifatkan sebagai spekulasi.

Buat masa ini, pihak polis enggan mendedahkan status siasatan mereka dan hanya akan berbuat demikian sekiranya ia wajar untuk pengetahuan umum.

Morais dilaporkan meninggalkan apartmennya, Menara Duta pada Jumaat dipercayai untuk ke tempat kerja.

Sama ada beliau benar ke tempat kerja atau sebaliknya masih belum dapat dipastikan memandangkan tidak diketahui sama ada polis telah menyoal siasat rakan sekerja Morais di Jabatan Peguam Negara atau sebaliknya.

Tidak diketahui juga sama ada penyiasat berjaya meneliti diari temu janji Morais, selepas laporan kehilangan hanya dibuat pada jam 6 petang Sabtu lalu berhubung kehilangan beliau.

Selepas The Rakyat Post menyiarkan berita kehilangan Morais, dipercayai beliau dijadualkan untuk menghadiri satu mesyuarat penting di Jabatan Peguam Negara pada Jumaat.

Dia bagaimanapun gagal hadir, banyak panggilan dibuat ke telefon bimbitnya namun gagal. Dia juga sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan rakan sekerjanya pada petang Jumaat namun tidak hadir.

Sekali lagi, panggilan di buat ke telefon bimbit beliau namun ia tidak dijawab sebelum pertanyaan dibuat sama ada sesiapa tahu di mana beliau berada.

Secara kebetulannya, seorang kawan kepada Morais cuba menghubunginya pada pagi Jumaat, namun ia sia-sia.

Pada tengah hari, kawannya itu menghubungi setiausaha kepada Moaris dan mendapati, Moaris tidak hadir ke pejabatnya di Putrajaya.

Laporan kehilangannya dibuat oleh adiknya, Datuk Richard Morais di Balai Polis Jinjang setelah diberitahu kehilangan abangnya sejak Jumaat.