Rabu, 23 September 2015

Kedutaan AS alu-alukan kembalinya The Edge

MALAYSIAKINI

 


Bukan sahaja masyarakat media, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur juga turut mengambil kesempatan mengalu-alukan kemunculan semula The Edge hari ini selepas menang kes di mahkamah semalam.

"Selamat kembali, The Edge Malaysia." Begitu status ringkas di Facebook kedutaan itu hari ini.

Sementara itu, selain turut mengucap tahniah rata-rata pengguna Internet mengulas status itu dengan harapan supaya akhbar perniagaan itu terus "menulis kebenaran" dan tidak menutup kes rasuah dalam negara.
The Edge Malaysia, welcome back!
Posted by U.S. Embassy Kuala Lumpur on Monday, 21 September 2015
Kedutaan juga memuat naik sekeping gambar muka depan akhbar itu yang kembali berada dalam pasaran hari ini selepas digantung kerajaan pada 27 Julai lalu.

Ia antaranya memaparkan fokus terhadap hal ehwal ekonomi negara dengan memetik ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Dimuatkan juga laporan berkaitan 1MDB dengan tajuk “Zeti: Public deservers answers to 1MDB" yang memetik Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Tindakan kedutaan itu dilihat sebagai tamparan terhadap Putrajaya yang sebelum ini menggantung tiga bulan dua penerbitan The Edge yang lantang mengkritik dalam isu 1MDB.

Dalam keputusan yang jarang-jarang berlaku semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan kerajaan menggantung The Edge Financial Daily dan The Edge Financial Weekly.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad juga mengarahkan penilaian terhadap kerugian The Edge dinilai.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diarahkan membayar kos RM15,000 kepada The Edge.

The Edge sebelum ini digantung tiga bulan, yang mengundang kemarahan pelbagai pihak, terutamanya kumpulan aktivis dan wartawan yang mendukung kebebasan media.

Sebuah perhimpunan diadakan di ibu negara pada 8 Ogos lalu bagi menyatakan bantahan itu.


Tiada ulasan: