Rabu, 23 September 2015

‘Itu hak peribadi Mahfuz’, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM – Pas tidak mempunyai halangan ke atas mana-mana ahlinya yang hadir ke persidangan meja bulat yang dibuat atas jemputan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mana-mana ahli mempunyai hak untuk hadir ke persidangan tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dilihat hadir ke persidangan meja bulat yang membawa kepada penubuhan Pakatan Harapan, hari ini.

“Jemputan hari ini melibatkan NGO, individu dan parti politik. Beliau (Mahfuz) hadir di atas kapasiti ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Mahfuz yang juga bekas Ketua Penerangan Pas merupakan satu-satunya ahli Pas yang hadir dalam perbincangan tersebut, meskipun partinya sebelum ini sudah menjelaskan untuk tidak terlibat dengan perbincangan itu.

Mahfuz ketika ditemui pemberita hari ini menegaskan bahawa beliau hadir ke persidangan meja bulat adalah atas jemputan yang diterima beliau secara peribadi dan bukan dibuat atas kapasiti Pas.

Pakatan Harapan hari ini ditubuhkan selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel di sini.

Pembentukan tersebut jelas dibuat tanpa kehadiran dan penglibatan Pas dalam persidangan meja bulat di sini.

Tiada ulasan: