Rabu, 16 September 2015

Himpunan lancar tapi ada peserta bertindak agresif

Himpunan lancar tapi ada peserta bertindak agresif
Runding dengan pihak polis untuk memasuki kawasan Bukit Bintang. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
KUALA LUMPUR - Peserta himpunan 'baju merah' yang berkumpul di Jalan Conlay bertukar menjadi tidak terkawal apabila berlaku rempuhan dengan pihak polis yang membuat sekatan lalu lintas yang menghubungkan Jalan Bukit Bintang, di sini.

Kumpulan itu pada mulanya bergerak awal dari waktu sepatutnya kira-kira 1.10 petang meninggalkan pekarangan Hotel Raja Chulan sebaik sahaja kumpulan dari Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bertembung di lokasi sama.

Sorakan "rempuh" yang dilaungkan oleh peserta himpunan menyebabkan peserta terus bergerak tanpa menghiraukan arahan pemimpin mereka.

Kumpulan itu bagaimanapun menjadi tidak terkawal sebaik sahaja mendapati Jalan Bukit Bintang berdekatan pusat beli-belah Pavilion ditutup pihak polis.

Walaupun rundingan dibuat untuk membenarkan kumpulan itu memasuki Jalan Bukit Bintang, namun beberapa peserta himpunan masih bertindak agresif dan merempuh pagar besi yang dikawal pihak polis.

Sebaik sahaja tiba di persimpangan Jalan Bukit Bintang, pasukan polis persekutuan (FRU) membuat halangan manusia dilengkapi pelancar bom asap.

Selepas 15 minit rundingan antara pihak penganjur dengan polis, kumpulan baju merah dibenarkan memasuki Jalan Bukit Bintang untuk menuju ke Padang Merbok.

Rundingan itu berhasil apabila ketua kumpulan berjanji dengan pihak polis menjaga tingkah laku peserta himpunan itu.


Tiada ulasan: