KUALA LUMPUR, Persatuan Seniman Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana ahlinya menyertai ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ di Padang Merbok, yang berlangsung hari ini.

Presidennya, Zed Zaidi berkata ini kerana ia di luar bidang kuasa persatuan yang hanya berperanan untuk menjaga kebajikan artis tanah air berbanding isu-isu politik negara.

“Itu hak individu dan bergantung kepada situasi. Jika seorang ahli itu merasakan perhimpunan ini satu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara, tetapi bukan untuk perjuangkan nasib mereka dalam bidang seni, mereka boleh menyertai mana-mana perhimpuan diadakan tidak kiralah merah atau kuning.

“Di sudut undang-undang kita sudah ada Akta Perhimpunan Aman, kalau akta itu ada tetapi tidak digunakan buat apa ia digubal. Apapun bentuk perhimpunan ia bergantung kepada matlamat pihak penganjur.

“Jika penggiat seni merasakan ditindas, mereka juga boleh berhimpun melalui penyatuan persatuan-persatuan artis,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau merujuk kepada satu perhimpunan yang pernah dianjuran GAFIM yang dianggotai empat persatuan seni di Dataran Zoo Negara, Hulu Klang, tahun lalu

“Lebih 5,000 pengiat seni telah berhimpun pada malam solidariti kempen SwitchOff untuk mengusulkan 11 tuntutan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Alhamdulillah dengan adanya perhimpunan-perhimpunan sebegini, sama ada berskala besar atau kecil, ia boleh mengubah keadaan. Sebanyak lima daripada 11 tuntutan GAFIM dapat dipenuhi. Samalah juga apa yang sedang diusahakan oleh penganjur himpunan baju merah,” ujarnya.

Ann_Ngasri[1]
Anne Ngasri

Bagi pelakon Anne Ngasri, yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang ketika diminta pandangannya menyatakan himpunan ini suatu isu yang sangat besar.

“Apa yang terbaik untuk kerajaan pastinya kita akan mempertahankan bangsa,agama dan negara. Himpunan begini atau demontrasi bergantung kepada perkara yang ingin dibuat ada pro dan kontranya tetapi pada saya, ia lebih pada hak individu,” ujarnya.

Bagi pelakon Azhar Sulaiman yang berpandangan Malaysia sebagai negara membangun sedang melalui evolusi dan pembelajaran antaranya hak bersuara dan berhimpun.

Azhar_Sulaiman[1]
Azhar Sulaiman

“Himpunan aman begini adalah antara ruang untuk meluahkan perasaan kerana mereka mengunakan hak bersuara yang sudah termaktub dalam hak asasi manusia antarabangsa.

“Namun masyarakat perlulah melihat semula pada sejarah mengapa sesuatu undang-undang itu digubal bagi sesebuah negara pula yang telah merdeka.

“Mana-mana rakyat dan pemimpin tidak perlu melanggar undang-undang yang digubal. Sesiapapun yang memerintah masih berpegang kepada Perlembagaan Negara dan kontrak sosial untuk menjaga hubungan baik antara kaum,” katanya.

Pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan Perhimpunan aman ‘Baju Merah’ namun perlu mematuhi undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pendirian itu dibuat selepas menilai pelbagai pendapat daripada semua komponen parti terhadap penganjuran perhimpunan aman itu.

Ketua Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berharap satu juta rakyat Malaysia akan memakai baju merah untuk menyokong Himpunan Rakyat Bersatu, hari ini.

Jelasnya, tindakan itu sebagai memberi amaran kepada DAP dan penyokong Cinanya supaya tidak mencabar orang Melayu.