Rabu, 16 September 2015

Guna pembunuh upahan untuk bunuh Kelvin

 
Hasil siasatan polis menemui wang tunai berjumlah RM32,000 yang dipercayai dibayar untuk membunuh mangsa.



anthony-kevin_mohmad-salleh_600


SUBANG JAYA: Siasatan polis menemui wang tunai berjumlah RM32,000 daripada suspek yang membunuh Timbalan Ketua Bahagian Pengarah Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Ia ditemui berasingan daripada lima suspek berusia 22 hingga 52 tahun yang ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sebanyak RM17,000 dirampas daripada seorang suspek di Lembah Klang bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta Kevin semasa hari mendiang dilaporkan hilang.

Katanya, RM15,000 lagi ditemui daripada seorang suspek di Pulau Pinang bersama sebuah kereta Proton Persona.

“Turut kita temui resit pembelian barang hardware untuk membeli batu dan simen yang dibeli di kawasan berdekatan dan dipercayai digunakan untuk mengkongkrit mangsa sebelum dicampak di dalam longkang di sini,” katanya kepada pemberita.

Mohmad turut mengesahkan salah seorang daripada suspek yang berusia 52 tahun mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 59 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu gagal memberikan keterangan di atas barang yang dimiliki.

Katanya, polis juga akan menyemak latar belakang empat lagi suspek yang terlibat sama ada mereka turut mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Terdahulu, polis menahan kelima-lima suspek terbabit bersama seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek bersama seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, polis percaya wanita dan kanak-kanak terbabit yang enggan didedahkan lebih lanjut identitinya tidak terlibat dalam pembunuhan Kevin.

Mayat Kevin ditemui di dalam longkang di tepi jalan di Jalan Subang 3, USJ 1, Subang Jaya selepas suspek menunjukkan tempat mereka membuang mayat berkenaan.

Tiada ulasan: