Isnin, 7 September 2015

Edge berhujah untuk batal perintah penggantungan

Hafiz Yatim 






Keputusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan untuk menggantung penerbitan The Edge Communications Sdn Bhd selama tiga bulan adalah tidak rasional dan tidak munasabah, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam utama The Edge, Darryl Goon, ketika berhujah supaya perintah itu dibatalkan, berkata terdapat 300 artikel di mana penerbitannya, The Edge Financial Daily dan The Edge Financial Weekly telah diterbitkan tentang 1MDB. Bagaimanapun mereka tidak diberitahu yang mana yang ofensif.

Tambahan pula, beliau berkata tidak ada larangan ke atas perkataan 1MDB atau ia diwartakan oleh menteri untuk mengharamkannya dan penerbitan lain terus menggunakannya, atau melaporkan mengenainya.

"Penggantungan itu didakwa dibuat berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak kerana penerbitannya didakwa memudaratkan keselamatan awam. Tetapi di bawah Seksyen 7 (1) kata-kata yang digunakan mesti diwartakan, dengan perintah menteri.

"Tidak ada pewartaan perintah secara langsung atau tidak langsung terhadap 1MDB, dan oleh itu tidak berlaku pelanggaran Seksyen 7 (1)," tambahnya.

Oleh itu, katanya, The Edge tidak mungkin melakukan pelanggaran itu kerana tidak ada perintah tersebut.

Oleh itu, penggantungan itu adalah tidak sah dan melanggar kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, hujah Goon.

The Edge telah diarahkan digantung penerbitannya dari 27 Julai hingga 27 Oktober oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad mendengar hujahan hari ini dan akan menyampaikan keputusannya pada 21 September. Mkini English


Tiada ulasan: