KUALA LUMPUR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan memberi kelulusan untuk sebarang perhimpunan yang mungkin diadakan di Petaling Street, pada Sabtu ini.


Ia susulan kenyataan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos yang tidak menolak kemungkinan berlaku rusuhan di Petaling Street, Sabtu ini.

“Tiada kelulusan untuk sebarang perhimpunan atau aktiviti. Tetapi, terpulang kepada pihak polis untuk bertindak, jika berlaku rusuhan,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz, pada Rabu.

Berhubung gesaan Jamal supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk bertindak terhadap penjualan barangan tiruan di Petaling Street, Mohd Amin Nordin berkata, jika ada operasi dijalankan kementerian itu, pegawai DBKL akan hadir.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Isa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyertai atau mencetuskan rusuhan.

“Polis akan mengambil tindakan untuk memastikan keamanan dikekalkan,” katanya yang dipetik The Malay Mail Online.

Menurut Jamal, rusuhan boleh berlaku, jika pihak berkuasa tidak bertindak ke atas peniaga-peniaga di Petaling Street yang menjual barangan tiruan.

“Kalau pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, saya yakin 99 peratus akan ada perhimpunan dan mungkin juga akan berlaku rusuhan di sana, Sabtu ini.

“Kalau mereka tidak ambil tindakan sehingga Jumaat ini, kalau berlaku apa-apa kekecohan di sana, saya tidak bertanggungjawab,” katanya yang menjangkakan sekitar 5,000 orang akan hadir pada perhimpunan itu, jika ia berlaku.