Rabu, 30 September 2015

Bung Mokhtar nasihat menteri kabinet jangan campur urusan kementerian lain

 
Nasihat itu bagi mengelak salah faham dan percanggahan tugas.


bung


PETALING JAYA: Menteri-menteri Kabinet di negara ini dinasihatkan supaya tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Sebaliknya, setiap menteri sepatutnya menjaga kementerian yang telah diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nasihat itu diberikan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden apabila isu percanggahan antara menteri berhubung isu jemputan Duta China ke Wisma Putra.

“Saya berpendapat menteri di Malaysia ini masing-masing ada kementerian yang perlu dijaga tanpa perlu masuk campur urusan kementerian lain,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Bung Mokhtar berkata, sekiranya isu campur tangan kementerian lain terus berlaku ia akan menimbulkan salah faham dan percanggahan tugas.

“Kalau ada cubaan campur tangan ia akan menimbulkan salah faham dan pengurusan bercanggah,” katanya.

Kontroversi timbul apabila Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memanggil Duta China, Dr Huang Huikang ke Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya mengenai perhimpunan di Petaling Street.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaam, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa Reezal melanggar protokol kerana hanya menteri layak memanggil duta.

Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin akhirnya membatalkan arahan memanggil Dr Huang oleh Wisma Putra.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan supaya Wisma Putra membatalkan perkara itu.

Beliau juga kecewa kerana campur tangan menteri lain dalam isu berkenaan.

Nazri kemudian meminta maaf kerana tersilap dan menegaskan beliau tiada niat mencampuri urusan kementerian luar.

Tiada ulasan: