Rabu, 16 September 2015

'BERSIH sampah di Padang Merbok'


MALAYSIAKINI


6.10pm, Padang Merbok: Kerja-kerja pembersihan di kawasan padang kini sedang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Salah seorang pegawainya yang Malaysiakini temui menganggarkan kira-kira 3 tan sampah yang harus dikutip di padang ini sahaja.

Pekerja pembersihan juga kini sedang menunggu lori-lori DBKL untuk datang mengutip sampah ini


5.58pm, Jalan Petaling: Para peserta kini masih lagi berada di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling dan meminta pihak polis untuk memberi kebenaran kepada mereka untuk memasuki kawasan tersebut.

Mereka mula mempersoalkan tanggungjawab polis yang tidak membenarkan mereka masuk.

Salah seorang peserta melaungkan: "Kalau tak dapat masuk bermakna polis dirasuah sehingga kita tak dapat masuk."

Ketika Malaysiakini bertanya dari mana para peserta itu datang, salah seorang daripada mereka memberitahu, mereka daripada pelbagai NGO Melayu.

"Kami semua dari pelbagai NGO Melayu," katanya yang memakai tag nama Jamaluddin dan Umno Pulai.

 6.00pm, Jalan Petaling: Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah menjemput ketua Umno Kepala Batas Rezal Merican masuk ke dalam kawasan Jalan Petaling dan berunding dengannya.

Beliau memohon bantuan Rezal memujuk peserta baju merah bersurai.

Katanya permit himpunan baju merah adalah di Padang Merbok dan bukannya di Jalan Petaling.

"Cukuplah, bersurailah," kata Zainol kepada Rezal.

Sebelum ini, zainol juga telah menjemput Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Rozlan Mohd Rafi berunding.

Mohd Razlan berkata mereka tetap mahu polis membenarkan kumpulan baju merah masuk. Polis menolak permintaan itu.

Mohd Rozlan kemudian berkata kepada media bahawa mereka tidak tahu Jalan Petaling adalah tempat larangan.

 

5.55pm, Padang Merbok: Pengerusi NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berkata individu yang mencetuskan provokasi di Jalan Petaling bukan peserta baju merah.

Sebaliknya, Jamal mendakwa mereka datang dari kumpulan yang sengaja mencetuskan kekecohan di kawasan yang didominasi peniaga bukan Melayu itu.

"Mereka bukan dari kalangan kami, kami orang baik," kata Jamal ketika ditemui pemberita di Padang Merbok sebaik sahaja himpunan baju merah selesai.

Jamal juga berkata beliau telah menjangkakan perkara itu akan berlaku kerana dimaklumkan sudah berkali-kali dikritik keras pihak pembangkang sebagai rasis.

"Kita dah jangka kerana sebelum ini sudah beberapa kali kenyataan dari pihak pembangkang yang mengatakan kita rasis," katanya.

Bagaimanapun beliau percaya pihak polis dapat mengawal keadaan tersebut.

"Saya percaya pihak polis dapat mengawal keadaan. Jangan langgar undang-undang, kalau langgar kita minta pihak polis ambil tindakan," tegas Jamal.

 

 5.50pm, Jalan Tun Perak: Kira-kira 2,000 orang berjalan di sepanjang jalan itu setelah bersurai dari Padang Merbok.

Seorang penjual jeruk Mohd Nur Al-Azmi, 26, berkata beliau berjaya menjual seratus kotak jeruk mangga, sama seperti perhimpunan BERSIH 4 sebelum ini.

'Najib tak pernah lihat himpunan seaman ini'

5.30 pm, Padang Merbok: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa beliau terkejut dengan Himpunan Rakyat Bersatu.

Hal ini kerana, beliau tidak pernah melihat himpunan yang dilakukan oleh rakyat dan berlangsung dalam keadaan yang sangat aman.

Perkara ini disampaikan oleh Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Anuar Musa dalam ucapannya kepada peserta perhimpunan.

"Saya baru lepas bercakap dengan perdana menteri, beliau terkejut dan terharu dengan himpunan seaman ini," katanya.

Anuar berkata jumlah kehadiran pada hari ini seramai 250,000 dan menganggap ia sebagai perjuangan awal orang Melayu.

"Jangan kedudukan kita sebagai Melayu, hak dipertikaikan dan dipersendakan.

"Ini bukan satu pesta biasa, suara 250,000 jadikan ini sebagai peringatan. Negara ini bertuan.

"Harap ia tidak berakhir di Padang Merbok, sebaliknya sebagai satu permulaan," katanya.

Penganjur: Buat salah tanggung sendiri

5.37pm, Padang Merbok: Ali Rustam berkata pihak yang mencetuskan provokasi di Jalan Petaling harus bertanggungjawab atas kesalahan mereka sendiri.

"Siapa buat salah dia tanggung sendiri," katanya ringkas ketika diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Jalan Petaling kini.

5.30pm: FRU membunyikan loceng membuatkan peserta himpunan lari ke arah Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Trak meriam air pula kelihatan menuju ke pintu depan Jalan Petaling dan menyembur air. Kebanyakan peserta berhampuran lari menuju ke Dataran Merdeka.

Kelihatan juga trak meriam air bergerak ke arah Pudu.

Sementara itu, seorang lelaki berucap mahu berkeras ke Jalan Petaling dan berkata ia milik Melayu.

Mereka memainkan lagi Warisan yang dipopularkan oleh Sudirman.

Di Bulatan Dato Onn, ribuan orang terus bergerak meninggalkan Padang Merbok. Mereka berpecah ke tiga haluan, iaitu Masjid Negara, PWTC dan LRT Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.

Mereka tenang dan mungkin tidak tahu berkaitan kekecohan yang sedang berlaku di Petaling Street.

 

5:20pm: Seorang jurucakap perhimpunan berkata orang Melayulah yang berjuang untuk kemerdekaan negara ini.

“Jangan lupa orang Melayulah yang berjuang untuk kemerdekaan. Di mana orang Cina?” katanya melalui alat pembesar suara.

Sementara seorang lagi jurucakap berkata pihak yang membaling objek ke arah polis adalah “pengkhianat”.

Beliau memberitahu perkara itu kepada kira-kira 300 orang peserta. Peserta bagaimanapun melaungkan bahawa mereka tetap mahu ke Jalan Petaling.



5pm, Jalan Petaling: Meriam air FRU tiga dari Jalan Tun Tan Cheng Lock sejurus selepas orang ramai membaling botol ke arah pasukan keselamatan.

FRU juga dipanggil "Barua Cina". Pancutan air itu menyebabkan orang ramai bertempiaran lari namun tiada gas pemedih mata dilepaskan.



4.55pm, Jalan Petaling: Ketegangan berlanjutan dan enggan bersurai. Akhirnya mendorong sesetengah peserta membaling botol ke arah anggota FRU. Polis kini sedang bergerak untuk menahan dalang yang terbabit dalam insiden itu.

FRU juga menggunakan meriam air yang disasarkan ke arah peserta perhimpunan.

4.45pm, Jalan Tun Tan Ching Lock: Seorang peserta perhimpunan mengganggu wartawan Malaysiakini ketika dia cuba menemubual seseorang membawa plakad.

Dia turut memberi amaran kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang supaya tidak mencetuskan 13 Mei.

Ditanya pandangannya terhadap Lim, lelaki itu berkata: "Ini bangsat."

Bagaimanapun apabila ditanya sama ada "bangsat" itu ditujukan kepada Lim, lelaki terbabit kelihatan terganggu dan semakin marah.

"Tak payah tanya. Awak bedua sama bangsa," katanya.

Kenyataan itu disokong orang ramai dan wartawan dihalau dari situ.

Tidak lama kemudian apabila terserempak semula lelaki terbabit bertanya kepada wartawan Malaysiakini terbabit: "Mengapa kau masih ada di sini? Baliklah!"

Dia kemudian menjerit: "Cina babi!"

4.45pm, Padang Merbok: Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata jumlah kehadiran dalam perhimpunan hari ini dianggarkan seramai 200,000 orang.

Katanya, mereka yang hadir tidak mahu berganjak dari padang kerana terlalu bersemangat.

Noh berkata orang Melayu turut boleh dihimpunkan dalam demonstrasi namun bukannya untuk menjatuhkan kerajaan seperti dilakukan BERSIH baru-baru ini.

"Kalau setakat nak buat demonstrasi kumpul ribuan orang kita pun boleh, kita pun boleh kumpul dan boleh buat.

"Kita nak beritahu DAP jangan guna demonstrasi untuk jatuhkan pemimpin kita.Tunggulah pilihanraya akan datang.

"Orang Melayu bukan seperti peserta himpunan haram yang beri betis nak peha," katanya yang berucap di pentas utama.

Beliau turut mahu ISA dikembalikan kerana "peserta BERSIH tidak tahu bersyukur".



4.35pm, Jalan Sultan Salahuddin: Peserta yang beransur pulang dari Padang Merbok mengambil kesempatan bergambar bersama empat artis yang hadir di perhimpunan itu. Mereka ialah pelakon veteran Liza Abdullah dan Tengku Sarina Tengku Mukhzani atau Kuna, serta dua lagi rakan mereka.


4.30pm, Jalan Petaling: Selepas dua jam keadaan tegang, semangat peserta baju merah masih tinggi. Mereka turut membawa bersama dram sambil menari dan menyanyi. Liriknya: "DAP bangsat, DAP bangsat".

Ditanya mengapa berkeras mahu memasuki kawasan Jalan Petaling, seorang daripada mereka berkata mahu mengganggu operasi perniagaan di situ. Tinjauan mendapati hampir semua kedai di kawasan berkenaan ditutup hari ini.



4.30pm, Jalan Parlimen: Orang ramai mula meninggalkan Padang Merbok. Seorang daripada mereka, Rahman, dari Kelantan memberitahu Malaysiakini mereka sedang berjalan menuju bas masing-masing.

"Mereka kata habis (berhimpun) jam 6 petang tapi kami balik awal," katanya.


Sementara itu sampah-sarap kelihatan ditinggalkan di sepanjang Jalan Parlimen, mungkin disebabkan kekurangan tong sampah. 



4.00pm, KLCC: Kira-kira 15 orang berkumpul secara santai untuk menunjukkan kepelbagaian kaum boleh hidup dengan aman di negara ini.

Peserta "Happy Birthday Malaysia" itu juga membawa bersama mereka keropok lekor, sandwic dan cekodok untuk berkelah di bawah pokok dan menghadap bendera negara.

Penganjur Azrul Mohd Khalib berkata mereka berkumpul untuk meraikan Hari Malaysia.

"Daripada muka merah padam menjerit dan penuh prejudis serta rasis, kami mengadakan perkelahan pelbagai kaum," katanya.

Antara yang hadir ialah anak bekas perdana menteri Marina Mahathir.


Tiada ulasan: