BUKIT MERTAJAM, Seorang anggota polis yang sedang merisik maklumat di sebuah kilang memproses makanan ayam di Bukit Tengah di sini semalam parah dipukul sekumpulan warga asing, manakala pistolnya pula dirampas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Ahad itu, anggota polis berkenaan, Koperal Khosim Hat, 56, sedang melakukan siasatan setelah mendapat maklumat mengenai aktiviti perjudian haram di Jalan Besar, Bukit Tengah, di sini.

Bagaimanapun, sekumpulan lelaki dipercayai pekerja asing di sekitar kilang tersebut dikatakan menyerangnya dari belakang dan membelasah mangsa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad, kumpulan terbabit kemudian merampas pistol jenis Walther P99 yang dibawa Khosim sebelum melarikan diri.

“Walaupun teruk mengalami kecederaan mangsa sempat menghubungi rakannya di Balai Polis Bukit Tengah.

“Sepasukan anggota polis yang dikejarkan ke lokasi kejadian menemui mangsa terbaring berlumuran darah dan mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulan,” kata Zakaria ketika dihubungi The Rakyat Post.

Mangsa yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam pasukan polis mengalami kecederaan di muka, patah tulang rusuk kanannya serta menerima lima jahitan di dahi.

“Siasatan pantas polis seterusnya membawa kepada penahanan 23 pekerja asing dari Vietnam, Myanmar dan Nepal dan 18 daripada mereka yang bekerja di kilang di Bukit Tengah diberkas pada malam itu juga.
“Daripada 23 yang ditahan itu, lima adalah wanita.

“Pistol milik mangsa juga berjaya ditemui semula,” kata Zakaria.

Senjata api milik anggota polis berkenaan ditemui semula di kawasan semak berhampiran kilang berkenaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Beberapa lagi warga asing yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan kini sedang dikesan