Rabu, 16 September 2015

Ada wakil rakyat parti lain mahu sertai Pas?

Pas


KUALA LUMPUR -  "Saya tidak mahu dedah lagi tetapi benda itu tidak mustahil, bila sampai masa kita akan dedah," demikian respon Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika ditanya tentang dakwaan adanya wakil rakyat parti tertentu yang akan menyertai Pas.

Mohd Khairuddin berkata, walaupun pada prinsipnya Pas sama sekali tidak akan menarik ahli mahupun wakil rakyat parti lain untuk menyertai parti itu, namun jika lawan pula berbuat sebaliknya, semua perkara boleh berlaku.

‎ "Prinsip kita adalah tidak mencuri ahli.... kalau kawan kita ikhlas nak berkawan dengan kita kawan dengan baik, jangan curi ahli kita,  jangan pancing ahli kita sebab kalau ia bermula... kita boleh usahakan pancing kawan lain jugak," ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PKR berkata, Pas bersikap terbuka dengan tindakan ahli, pemimpin dan wakil rakyat mereka yang meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.

Namun pada masa sama, katanya, untuk berlaku adil Pas perlu diberi kebenaran menerima mana-mana wakil rakyat daripada parti lain.

"Wakil rakyat Pas boleh pergi ke parti lain yang mempunyai hubungan dengan Pas.

"Maka saya rasa untuk berlaku adil kepada Pas, kami boleh menerima menerima mana-mana wakil parti lain untuk menyertai Pas", katanya ketika ditemui media di Kongres Rakyat di Shah Alam baru-baru ini.


Tiada ulasan: