Isnin, 3 Ogos 2015

Umno usah terlalu leka berpolitik

Abu Bakar Yahya
Abu Bakar Yahya


SHAH ALAM - Pertubuhan  Pribumi Perkasa,  Selangor (Perkasa)  mengingatkan Umno agar  tidak terlalu leka berpolitik sehingga mengabaikan asas perjuangan mereka terutama dalam menjaga kedudukan orang Melayu.

Yang di Pertuanya, Abu Bakar Yahya berkata, pihaknya merasakan situasi politik yang melibatkan Umno  ketika ini dilihat cukup merunsingkan orang Melayu yang selama ini amat bergantung harap kepada parti itu untuk membela masa depan generasi mereka.

"Sebagai sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar kesedaran nenek moyang untuk memartabatkan semula bangsa akibat kesan penjajahan, Umno  tidak harus menjadi sebuah parti yang bersifat eksklusif yang hanya berkisar individu atau kelompok tertentu semata-mata walaupun mereka yang terlibat itu mendapat sokongan tiga juta ahli parti itu di seluruh negara.

"Sebaliknya Umno harus memberi lebih perhatian dalam mendepani soal kepentingan rakyat sama ada di bandar, luar bandar tanpa mengira latar belakang pendapatan khususnya orang Melayu lebih-lebih lagi dengan keadaan peningkatan kos serta taraf hidup yang semakin mencabar ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata secara jelas rakyat di negara ini khususnya orang Melayu dari segi bilangannya adalah melebihi daripada ahli Umno  itu sendiri dan jumlah itu lah nanti yang akan menentukan jatuh bangunnya Umno.

"Sebagaimana dengan penubuhan Perkasa itu sendiri, pertubuhan ini wujud atas dasar untuk memastikan hak dan kepentingan orang Melayu dapat ditegakkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 "Perkasa sendiri tidak akan wujud sekiranya pihak yang bertanggungjawab dan diamanahkan benar-benar memastikan hak dan kepentingan kaum Bumiputera di negara ini dapat dibela selain tidak wujud lompang dalam usaha untuk memartabatkan kaum Bumiputera secara keseluruhannya," katanya.

Oleh itu ujarnya, Umno  tidak harus menjadikan percaturan politik dalaman sebagai tumpuan utama mereka sebaliknya percaturan itu adalah lebih baik ditumpukan kepada bagaimana untuk memastikan rakyat khususnya orang Melayu dan negara mendapat manfaat di bawah pentadbiran parti itu menerusi kerjasama Barisan Nasional.

"Ingatlah peribahasa Melayu, 'kalah jadi abu, menang jadi arang' yang mana hakikatnya tiada siapa yang untung," katanya.

Tiada ulasan: