Isnin, 3 Ogos 2015

Tun M jawab tuduhan wang UMNO masuk akaun peribadinya

 
Wang tunai dan aset UMNO diserahkan kepada Pak Lah menerusi dua individu, satu senpun tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.


mahathir


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan tuduhan bahawa beliau pernah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya untuk kegunaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) sama seperti dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tegasnya, tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya merupakan suatu tuduhan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“Sewaktu saya letak jawatan sebagai Presiden UMNO, saya telah arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat milik hartanah diserah kepada Tun Abdullah Badawi. Pegawai yang menyerah ialah Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik.

“Jumlah wang tunai yang diserah melebihi RM200 juta. Jumlah nilai saham dan hartanah melebihi RM1.2 billion. Tidak ada satu senpun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya.

“Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya.

Menulis di blognya www.chedet.cc, Dr Mahathir yang sering mengkritik kepimpinan Najib juga menyatakan beliau hanya pernah memasukkan wang tunai berjumlah RM20,000 dari Ibu Pejabat UMNO ke dalam akaunnya hanya pada PRU 1964 dan 1969.

Jelasnya, tindakan beliau berbuat demikian adalah kerana tidak sanggup memegang jumlah wang tunai yang banyak, sebaliknya, beliau mengeluarkan cek agar agihan kepada kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dilakukan.

“Wang ini bukan dari penderma tetapi ini adalah wang UMNO yang memang pun diberi kepada bahagian untuk kegunaan calon,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, terdapat perbezaan di antara wang tunai sebanyak RM20,000 yang diterimanya dan cek sebanyak USD 700 juta bersamaan RM2.4 billion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

“Jikalau disemak perbelanjaan pilihan raya lima kali yang diadakan semasa saya Presiden UMNO, tidak ada banyak wang yang diguna, terutama peruntukan dari Ibu Pejabat. Namun BN tidak pernah menang kurang dari 2/3 kerusi di Parlimen.

“Jika sekarang UMNO perlu RM2.5 billion untuk pilihan raya, ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihan raya.

“Akaun perbelanjaan pilihan raya tiap seorang calon pilihan raya perlu dilapor kepada pihak berkuasa. Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu. Saya pohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak dari rasuah berlaku,” katanya.

Tags: bahasa, Najib Razak, Mahathir Mohamad, Dana politik, UMNO, SPR

Tiada ulasan: