KOTA BHARU, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan meminta orang ramai supaya jangan membuat andaian melulu, termasuk menuduh guru adalah punca tujuh pelajar Orang Asli lari ke hutan.

Pengarahnya, Abdul Aziz Abdullah berkata, apa yang lebih penting sekarang adalah memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat kesemua pelajar berkenaan.

Beliau berkata, JPN menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kes kehilangan pelajar-pelajar terbabit.

“Dakwaan yang mengatakan guru terbabit marah, sebab kesemua pelajar itu mandi di sungai itu, sama ada betul atau tidak, kita biarkan dahulu.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah kita fokus untuk pencarian pelajar-pelajar yang hilang itu terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Bagaimanapun, katanya, setakat yang dimaklumkan sehingga kini, polis masih gagal menemui kesemua pelajar terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, operasi turut disertai Jabatan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Beliau berkata, operasi itu diperluaskan dengan jumlah anggota lebih ramai, termasuk ke kawasan hutan berdekatan Pos Tohoi.

“Operasi yang dijalankan masih gagal mengesan kumpulan pelajar berkenaan yang hilang sejak Ahad minggu lalu,” katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh pelajar Orang Asli, iaitu enam perempuan dan seorang lelaki yang berusia tujuh hingga 11 tahun lari ke hutan, kerana bimbang dimarahi guru, selepas mereka mandi di sungai tanpa kebenaran.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak pulang sehinggalah laporan polis dibuat keluarga pada jam 2.20 pagi, Selasa lalu.

Kehilangan mereka kemungkinan akibat tersesat ketika di hutan dan gagal mencari jalan pulang.